MP DAP sumbang barang keperluan kepada petugas barisan hadapan


Petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus bekerja tanpa lelah untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19 adalah antara golongan yang paling terdedah kepada penyakit itu.
Menyedari hal itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini tampil menghulurkan beberapa barangan keperluan kepada petugas di Balai Polis Sri Petaling bagi memastikan mereka mendapat perlindungan diri semasa menjalankan tugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Antara sumbangan yang diberikan adalah berupa 600 botol cecair pembasmi kuman, 10 karton sarung tangan dan 50 kotak air mineral.
“Kami berterima kasih kepada pegawai polis yang menjalankan tugas sepanjang PKP. Mereka perlu bahan perlindungan seperti sarung tangan serta penutup hidung dan mulut semasa menjalankan tugas untuk menghentikan penyebaran wabak Covid-19.
“Semoga mereka sentiasa sihat dan selamat,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.