HOSPITAL Teluk Intan (HTI), Perak ditutup sementara untuk proses pembersihan dan penyahkuman selepas 37 petugas kesihatan di hospital itu positif koronavirus baharu (Covid-19).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital akan dibuka semula dan pihaknya akan menyelaras doktor serta jururawat daripada hospital lain untuk membantu HTI.
“Selain HTI, empat hospital dikenal pasti kadar jangkitan tinggi membabitkan petugas kesihatan adalah Hospital Putrajaya; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Selayang,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ditanya mengenai keupayaan kakitangan KKM yang kini dilihat bekerja sepenuh masa, Noor Hisham mengesahkan keadaan itu dan kakitangannya sudah bekerja tanpa henti selama tiga bulan.
“Apa yang penting kita perlu menyelaras tenaga sumber manusia kita, seramai 3,400 orang akan dikerah ke hospital dan klinik yang kini sedang menjalani latihan asas yang terdiri daripada 2,500 jururawat.
“Selain itu, jururawat yang sudah bersara iaitu seramai 3,000 orang akan dipanggil dan membantu mengikut kepakaran masing-masing terutama di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dewan bedah,” katanya.