JANGAN SALAHKAN JEMAAH TABLIGH HANYA KERANA BEBERAPA GOLONGAN YANG JAHIL DAN JUMUD



Amat mendukacitakan nama jemaah Tabligh disebut-sebut sebagai salah satu punca merebak wabak COVID-19.  Benar, salah satu punca merebaknya wabak ini adalah kerana "kluster" mereka yang berdegil dan tidak mematuhi arahan keselamatan yang diberikan.

Difahamkan telah ramai di antara mereka telah pun hadir melapor diri untuk membuat pemeriksaan.  Malangnya, masih ramai juga di kalangan pendakwah ini berdegil atau jumud di dalam pemikiran mereka tentang wabak yang tidak pernah mereka dengar sebelum ini.

Ada di antara mereka berdegil hingga ke tahap dipaksa oleh pihak berkuasa untuk menjalani pemeriksaan.  Ada yang menggunakan hujah agama untuk mengelakkan diri masing-masing dari mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.  "Allah berkuasa, hidup mati kita di tangan Allah, mengapa perlu takut kepada wabak ini lebih dari takut kepada Allah?  Mengapa kita mesti jauhi Rumah Allah untuk solat berjemaah hanya kerana takut wabak ini?".  Itu di antara hujah2 yang biasa kita dengar dari golongan jumud dan jahil ini.

Tidakkah mereka tahu Allah juga mewajibkan kita menjaga keselamatan diri dan keluarga kita dari wabak?  Bukan soal kita takut wabak itu lebih dari takut kepada Allah, tetapi kita wajib jauhi wabak itu kerana itu juga perintah Allah.  Setiap penyakit itu juga datang dari Allah dan penawarnya juga datang dari Allah serta keizinannya.  Maksudnya, wabak itu tidak akan terjadi tanpa izin Allah.  Allah menurunkan wabak atau penyakit itu bersebab agar manusia berfikir.  Allah juga sediakan penawar setiap penyakit kecuali mati.  Cuma, kita saja yang perlu berusaha dan bertawakkal untuk mencari penawarnya.

Haram bagi kita mendedahkan diri kita, apatah lagi keluarga kita dari penyakit.  Tidak cukup hanya kita berdoa kepada Allah untuk lindungi diri dan keluarga kita dari penyakit atau bala bencana sedangkan kita tidak mahu lari darinya.  Itu bukan ajaran Islam.  Setelah kita berusaha menghindari wabak ini dengan  mematuhi arahan dari pihak berkuasa, barulah boleh kita serahkan diri kita kepada Allah dan memohon perlindungan dariNya.

Saya menasihatkan saudara2 jemaah Tabligh agar melihat kepentingan masyarakat Islam dan insan sekeliling lebih utama dari kepentingan jemaah mereka.  Buat masyarakat di luar sana, elakkan diri dari mengutuk atau mengecam jemaah Tabligh ini hanya kerana beberapa golongan dari mereka yang mungkin jahil terhadap isu yang melanda sekarang.

WFAUZDIN NS