Dunia diambang kemelesetan besar
Kredit: Prof Mohd Nazari Ismail
Dalam sejarah manusia, kejadian wabak bukanlah sesuatu yang baru. Bahkan sebenarnya terdapat kejadian wabak yang berlaku sebelum ini yang jauh lebih menggerunkan berbanding Covid-19. Sebagai contoh wabak `Kematian Hitam’ (Black Death) yang berlaku sekitar 1350 telah membunuh 20 juta nyawa di benua Eropah dan kemungkinan puluhan juta di benua lain, sementara wabak Demam Sepanyol (Spanish flu) yang berlaku pada tahun 1918 mengorbankan 50 juta nyawa di seluruh dunia.
Sebagai perbandingan, Covid-19 walaupun sudah berlaku beberapa bulan dan telah merebak ke seluruh dunia, namun jumlah kematian di seluruh dunia masih belum mencecah 10 ribu lagi. InshaAllah dengan usaha kerajaan dan pelbagai pihak lain serta berkat doa-doa kita semua memohon perlindungan kepada Allah SWT, jumlah kematian mungkin tidak akan dapat menandingi angka 50 juta yang dikorbankan oleh wabak Demam Sepanyol.
Namun satu perkara yang harus disedari ialah kesan ekonomi kepada masyarakat manusia di seluruh dunia akibat Covid-19 berkemungkinan adalah yang paling teruk dalam sejarah manusia. Punca utama kepada perbezaan ini adalah perbezaan yang sangat besar dari aspek keadaan kewangan manusia pada masa dahulu dan sekarang, khasnya dalam aspek saiz industri hutang sekarang ini berbanding zaman dahulu.
Sebelum menghuraikan dengan lebih lanjut, kita perlu sedar bahawa wabak Covid ini telah memberi kesan ekonomi yang sangat teruk kepada banyak sektor. Ini terutama sekali apabila beberapa kerajaan di seluruh dunia melaksanakan langkah `kawalan pergerakan’ (atau lockdown). Kebanyakan daripada mereka adalah dari sektor swasta yang memerlukan pendapatan untuk membayar kos operasi.
Walaupun terdapat kos yang dapat dikurangkan oleh syarikat swasta akibat penutupan operasi (seperti petrol, disel, elektrik dan air), namun terdapat kos tetap yang terpaksa ditanggung seperti kos sewa premis dan kos gaji kakitangan. Tambahan pula kebanyakan daripada syarikat swasta mempunyai beban hutang yang sangat tinggi kepada sektor perbankan. Di Malaysia beban hutang sektor swasta adalah lebih dari RM1 trillion.
Syarikat-syarikat ini akan menghadapi keadaan kewangan yang sangat mencabar kerana pendapatan mereka akan jatuh mendadak sementara beban hutang mereka masih perlu diselesaikan. Besar kemungkinan banyak syarikat tidak akan mampu membayar hutang mereka dan akan jatuh muflis. Akibatnya mungkin ratusan ribu pekerja akan kehilangan pekerjaan. Sebagai contoh dalam sektor penerbangan sahaja, syarikat Qantas dilaporkan akan meminta 20 ribu pekerjanya mengambil cuti tanpa gaji. Jika ratusan ribu pekerja di seluruh dunia yang kehilangan sumber pendapatan ini juga mempunyai beban hutang yang tinggi (di Malaysia hutang isi rumah pada tahun 2019 adalah lebih dari RM1.1 trillion), kita boleh bayangkan kesengsaraan yang bakal dihadapi oleh mereka dan ahli keluarga mereka.
Oleh kerana masalah Covid-19 ini berlaku di seluruh dunia, maka tidak hairanlah kenapa ramai penganalisa ekonomi menyatakan ekonomi dunia akan mengalami kemelesetan yang teruk akibat daripada bencana ini. Ada yang meramalkan bahawa ekonomi negara Amerika dan Eropah akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang negatif sementara ekonomi negara China mungkin akan berkembang sebanyak 1.5 peratus sahaja. Oleh itu kemungkinan ekonomi dunia mengalami penguncupan ekonomi yang mendadak adalah sangat tinggi.
Ramai pihak akan menuntut agar kerajaan di seluruh dunia memberikan bantuan kepada syarikat-syarikat dan individu-individu yang dalam keadaan tersepit. Namun hakikatnya kebanyakan kerajaan juga dalam keadaan kewangan yang tenat dengan bebanan hutang yang tinggi. Sebagai contoh kerajaan Malaysia sendiri mempunyai beban hutang dan tanggungan yang melebihi RM1 ribu billion atau RM1 trillion sementara kerajaan Amerika mempunyai beban hutang melebihi USD22 trillion atau hampir RM90 trillion. Pendapatan kerajaan di seluruh dunia juga akan meleset kerana kutipan cukai juga akan menurun apabila banyak syarikat jatuh muflis atau mengalami kerugian. Dalam kes Malaysia pendapatan kerajaan daripada sumbangan Petronas juga dijangka menurun kerana harga minyak yang sudah jatuh ke bawah paras USD30 se tong.
Di dalam keadaan di mana hutang di seluruh dunia daripada semua sektor adalah berjumlah lebih daripada USD250 trillion (atau lebih dari RM1 quadrillion), maka sudah tentu kemelesetan ekonomi ini akan mengakibatkan krisis hutang yang sangat serius di masa akan datang yang akan melibatkan sektor kerajaan, swasta dan isi rumah.
Pendek kata, dalam beberapa bulan lagi walaupun inshaAllah ramai daripada pesakit Covid-19 di seluruh dunia akan kembali sembuh kerana paru-paru mereka akan kembali pulih dan mereka juga akan boleh bernafas dengan lega, namun malangnya dari aspek kewangan pula, ramai dari kalangan kita akan berada dalam keadaan yang semakin tenat dan mungkin tidak akan dapat bernafas langsung untuk tempoh masa yang sukar diramalkan dengan tepat dan yakin. Sebagai rumusan, apabila industri hutang dibiarkan berkembang, maka masalah wabak atau apa-apa bencana akan melipatgandakan kesengsaraan manusia. Hanya pemilik industri hutang sahaja yang mungkin masih boleh hidup dengan selesa di celah-celah kesengsaraan tersebut.
Prof Nazari Ismail UM
Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.
Penulis bertugas di Jabatan Polisi dan Strategi, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya. Buku terkini beliau bertajuk “Membujur Lalu Berhutang Parah – Kesan Industri Hutang Terhadap Masyarakat Dunia’.