Majlis Setiausaha Pakatan Harapan merakamkan rasa kesal serta bantahan terhadap pengumuman Kerajaan yang berniat menaikkan harga pasaran bagi penutup muka 3-lapis dari RM0.80 sekeping ke RM2.00 sekeping.
Majlis Setiausaha PH dalam kenyataannya hari ini berkata, kenaikan harga sebanyak 150 peratus itu adalah keterlaluan dan cukup mendadak.
Ia juga tidak membantu meredakan keadaan, di mana isu sebenar di sini adalah isu bekalan yang tidak mencukupi.
“PH menggesa kerajaan untuk mengkaji semula pengumuman kenaikan harga ini, dan jangan membebankan rakyat sebegini rupa.
“Kami turut menggesa pihak kerajaan untuk meneruskan dan memuktamadkan perbincangan dengan pihak industri, dengan objektif meminta industri meningkatkan pengeluaran penutup muka,” tegas kenyataan itu.
Berdasarkan perbincangan terdahulu, Majlis Setiausaha PH yakin empat perkara perlu dilaksana segera bagi membantu industri mencapai objektif tersebut.
“Empat perkara itu adalah membantu industri mengatasi masalah pekerja yang tidak mencukupi; mempercepat proses meluluskan penambahan shif operasi dari dua ke tiga.
“Perkara seterusnya memberi pengecualian atau pelepasan cukai-cukai tertentu, seperti yang tertakluk di bawah Akta Kastam 1967 dan kerajaan juga perlu memudahkan industri untuk memperoleh bahan mentah bagi meningkatkan pengeluaran penutup muka.
“Pakatan Harapan turut berpandangan bahawa pada ketika China merupakan pengeluar penutup muka terbesar dunia, justeru kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan Kerajaan China (Government-to-Government) untuk membolehkan serta mempermudah industri dan syarikat di Malaysia mengimport penutup muka dari negara itu,” katanya.