Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha termasuk penjaja dan penjual makanan yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo berkata, tindakan menyita dan menarik balik lesen akan dikenakan terhadap pengusaha yang masih berdegil tidak mahu mematahui arahan PKP.
“Mulai esok jika ada premis yang masih berdegil, kita akan menarik lesen perniagaan mereka. Kedua kita akan menyita barang-barang perniagaan,” katanya seperti dipetik The Malaysian Insight, hari ini.
Katanya, terdapat segelintir pengusaha di kompleks makanan, kompleks penjaja dan binaan sekitar Seberang Perai yang membenarkan pelanggan makan di premis perniagaan mereka.
Ia menyebabkan keadaan menjadi sesak dengan rata-rata pengunjung tidak mengamalkan pencegahan yang perlu seperti penjarakan selamat di tempat tumpuan ramai itu.
Setakat ini, kata Jagdeep, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah melakukan pemeriksaan ke atas 1,834 premis, sementara Majlis Bandaraya Seberang Perai pula telah memeriksa 274 premis.
Meskipun majoriti besar premis perniagaan mematuhi arahan PKP, peringatan tentang kepentingan mengambil langkah-langkah pencegahan Covid-19 perlu terus dipergiatkan, tambahnya.
Dalam pada itu, Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang memaklumkan bahawa pihaknya akan menutup empat lokasi penjaja tepi jalan mulai esok.
“Penjaja tepi jalan di Air Itam, Bayan Baru, Jelutong, dan Jalan Perak ditutup mulai esok. Kami fokus empat lokasi ini kerana mereka sahaja masih degil walau diberi nasihat,” katanya.
Sementara di Seberang Perai pula, lima daripada 30 pasar awam akan diberi perhatian iaitu di Penanti, Sungai Dua, Samagagah, Taman Selamat, dan Kampung Baru, Bukit Mertajam.
Kerajaan menguatkuasakan PKP selama 14 hari bermula 18 hingga 31 Mac bagi memutuskan rantai penularan Covid-19 di negara ini.
Setakat ini, jumlah kes Covid-19 dicatatkan pada 1,183 dengan empat kematian, sementara 37 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).