Perang AS – Iran jika berlaku gugat ekonomi Malaysia
Ekonomi Malaysia akan menghadapi cabaran getir sekiranya keadaan di Timur Tengah memburuk
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata sekiranya berlaku perang antara Amerika Syarikat dan Iran maka kesannya akan merebak dan menggugat pertumbuhan ekonomi Malaysia yang telah dirancang dalam Belanjawan 2020.
Beliau merujuk tindakan Tehran melancarkan peluru berpandu balistik ke sebuah pangkalan tentera Iraq yang menempatkan tentera AS pada pagi Rabu sebagai tindakan balas terhadap serangan dron AS pada Jumaat lalu menyebabkan jeneral tertinggi Iran, Qasem Soleimani terbunuh.
“Ia hanya sehari sejak Iran melepaskan peluru berpandu ke pangkalan tentera AS di Iraq dan tiada respons (Presiden AS Donald) Trump lagi,” kata Lim dipetik FMT.
“Kami berharap kedua-dua negara akan bertindak rasional dan tidak berperang.
“Cabaran terbesar yang kami hadapi ialah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi kerana Malaysia bukannya pengeksport besar minyak,” katanya sambil menambah mesyuarat Kabinet hari ini turut membincangkan konflik AS-Iran.
Dalam isu lain, Lim berkata, Malaysia mempunyai pelan berdepan kemungkinan perang perdagangan AS-China akan bertambah buruk dan beliau turut yakin rancangan tertentu akan diwujudkan bagi melindungi ekonomi negara jika ketegangan di Timur Tengah meningkat.
BBC hari ini melaporkan minyak mentah Brent meningkat 1.4% kepada AS$69.21 setong. Walaupun ia mungkin berita baik buat syarikat minyak negara, Petronas dan pengeksport minyak lain, kenaikan harga bermakna Malaysia perlu mengeluarkan lebih banyak peruntukan untuk menampung pemberian subsidi.
“Ramai yang kata kenaikan harga minyak ini tidak akan kekal. Setakat ini AS tidak melakukan serangan balas, jadi jika konflik ini berakhir di sini, saya rasa harga minyak akan kembali ke paras terdahulu,” katanya sambil menambah tanda aras kerajaan ialah AS$62 setong.
“Bagi setiap kenaikan AS$1 dalam harga minyak, Petronas akan mendapat lebih RM300 juta – tetapi Petronas yang mendapat manfaat, bukannya kerajaan.
“Kerajaan perlu membayar subsidi petrol lebih tinggi dan kami sedia menghadapinya. Setakat ini, negara mampu menanganinya (kenaikan harga minyak).”