PENDEDAHAN AUDIO UNTUNGKAN NAJIB,RUGI MAHATHIR


Sehingga ini masih tidak jelas apakah tujuan lain SPRM mendedahkan rakaman audio melibatkan Najib Razak yang dikaitkan dengan percubaan menutup skandal 1MDB, selain untuk memalukan bekas Perdana Menteri itu.
Pada tanggapan umum, memalukan Najib adalah satu-satunya tujuan SPRM berbuat demikian, meskipun Najib sudah pun dihadapkan dengan puluhan pertuduhan di mahkamah dan semakin hampir menuju ke penjara.
Seolah-olah, meskipun Najib sudah dihadapkan ke mahkamah dan dikatakan dalam perjalanan menghuni penjara, tetapi berikutan sokongan rakyat terhadapnya dilihat terus bertambah, gambarannya masih ada yang tidak puas hati dengan kian bertambah sokongan yang diterimanya.
Lalu, dikatakan kerana itulah rakaman audio itu didedahkan kepada media, bukan diserahkan terus kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Malah, menjadi perbualan di mana-mana bagaimana mimik muka Latheefa Koya menahan ketawa dan tersenyum-senyum ketika memperdengarkan perbualan Najib dimarahi Rosmah Mansor, seolah-olah itulah matlamat yang mahu disasarkan kepada rakyat, selain perbualan-perbualan lain yang menjurus ke arah usaha menutup skandal 1MDB.
Kalaulah berdasarkan rakaman audio itu terdapat kesalahan tertentu dilakukan oleh Najib, Rosmah Mansor, Dzulkifli Ahmad (bekas KP SPRM) dan lain-lain yang membolehkan mereka didakwa di mahkamah, langkah yang sepatutnya diambil oleh SPRM, sebaik menerima rakaman audio daripada sumber yang tidak diketahui itu ialah menyerahkannya kepada pihak polis agar siasatan segera dapat dilakukan serta lebih banyak pendakwaan di mahkamah dapat diambil.
Ini kerana SPRM adalah agensi penguatkuasa undang-undang, bukan sebuah parti politik atau agensi perhubungan awam yang boleh disuruh itu dan ini asalkan ada ganjaran serta upah lumayan diberikan.
Sebagai agensi penguatkuasa undang-undang dan mencegah rasuah, SPRM harus bertindak secara profesional dan berlandaskan undang-undang.
Memang SPRM boleh menyiasat, menahan dan seterusnya menyediakan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan, tetapi memalukan orang dengan hebahan rakaman audio kepada media, khususnya terhadap bekas pemimpin negara sebelum rakaman itu diserahkan kepada pihak polis untuk disiasat, tentulah tidak termasuk dalam skop tugas badan tersebut.
Tak tahulah jika sejak Latheefa mengetuai SPRM, sudah ada bidang tugas tambahan badan itu yang tidak diwartakan kepada umum.
Begitu pun, percubaan SPRM untuk memalukan Najib, menjejaskan reputasi atau mengurangkan sokongan terhadapnya dengan hebahan rakaman audio itu jelas nampak tidak menjadi.
Sebaliknya, SPRM dan Latheefa lebih banyak dipersalahkan kerana tindakannya yang dianggap tidak profesional itu.
Dalam PH sendiri, tidak ada yang mempertahankan tindakan SPRM itu di mana beberapa figura yang berlatar-belakangkan undang-undang seperti Ramkarpal Singh, Hanif Khatri Abdullah dan Rais Yatim terang-terang mengutuk dan mengecam SPRM serta Latheefa.
Tidak terkecuali, Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin turut serta melontarkan kecaman dengan menganggap SPRM di bawah Latheefa seperti sudah hilang profesionalismenya.
Apa yang diraih Najib, malah ialah simpati dan kasihan orang terhadapnya kerana Tun Mahathir Mohamad dianggap tidak putus-putus mahu membalas dendam, menyusah serta memalukannya melalui tindakan SPRM itu.
Bahkan, tindakan memperdengarkan rakaman audio itu dilihat suatu perlakuan “overkill” terhadap Najib kerana setelah jatuh, sudahlah disiasat, direman, didakwa di mahkamah dan kini dimalukan pula dengan babak beliau dimarahinya oleh isterinya.
Dalam konteks yang sama, rata-rata rakyat Malaysia percaya tidak mungkin Latheefa berani mendedahkan rakaman audio itu kepada media dalam sidang media khas yang dipanggilnya jika tanpa pengetahuan dan restu Perdana Menteri.
Apalagi dengan perlantikan Latheefa mengetuai SPRM adalah merupakan pilihan Tun Mahathir sendiri, ia secara tidak langsung menguatkan lagi keyakinan adanya restu dan lampu hijau diberikan sebelum pendedahan kepada media itu dilakukan.
Mereka yakin, adalah mustahil Latheefa bertindak sendirian kerana dari segi penanda aras pencapaian SPRM sebagai agensi pencegah rasuah, kejayaan badan itu adalah diukur melalui kes-kes yang berjaya dibawa ke mahkamah, bukannya dengan mendedahkan rakaman audio kepada media.
Makna kata, selepas dua tiga jam awal pendedahan orangramai terpana dengan tindakan SPRM itu, selebihnya lebih banyak kecaman diterima badan itu, termasuk membabitkan nama Tun Mahathir sama.
SPRM dikecam, Latheefa dikecam, Tun Mahathir juga dikecam, manakala yang perlahan-lahan meraih untung simpati rakyat ialah Najib.
Lebih daripada itu, keyakinan orangramai terhadap perbicaraan Najib berkaitan 1MDB yang sedang berjalan turut menjadi semakin pudar dengan munculnya rakaman audio yang didedahkan SPRM ini.
Apakah, berikutan namanya dan kerajaan kian dipersalahkan, Tun Mahathir selepas ini akan lepas tangan begitu saja dan menyalahkan Latheefa sepenuhnya atas tindakan tidak profesional mendedahkan rakaman tersebut?
Berapa lama lagi agaknya Latheefa mampu bertahan dengan jawatannya? (ShahbudinHusin 09/01/2020)