Penyokong Anwar ingatkan Hanif jangan terlibat politik kotor
Penglibatan peguam Haniff Khatri Abdulla mewakili bekas kakitangan presiden KEADILAN atas tuduhan salah laku seks yang sedang disiasat Bukit Aman baru-baru ini dipersoal kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
FMT dalam laporannya berkata, kumpulan menggelar diri mereka Pro ’98 Reformis Malaysia mendakwa Haniff sengaja terbabit dalam “mainan politik kotor” dengan mewakili Muhammed Yusoff Rawther.
Mereka turut mempertikai dakwaan Haniff yang beliau bertindak secara profesional dalam mewakili lelaki itu.
“Haniff perlu tanya dirinya, siapa yang diwakilinya? Beliau ialah pengerusi badan persekutuan, bolehkah beliau membuat sesuatu seperti itu?”
“Beliau nampaknya lebih rela menggunakan kepakarannya guamannya untuk menjadi alat perkakas pimpinan tertentu.” kata mereka.
Yusoff dalam sidang media yang disiarkan di Facebook Live pada 4 Dis lalu mendakwa seorang ahli politik kanan melakukan jenayah terhadapnya yang disifatkan “tidak Islamik, perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, serta tidak bermoral”.
Anwar menolak dakwaan dalam akuan berkanun Yusoff dengan berkata, ia adalah cubaan untuk mencemarkan reputasinya dan mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap pemuda itu.
Sementara itu, kumpulan tersebut menggesa Haniff meletak jawatan sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) sekiranya tidak mahu fokus terhadap agenda membangunkan institusi tersebut dan terus mahu mencampuri hal politik.
“Jika Haniff tidak mahu menghentikan politik kotor ini, beliau patut meletak jawatan dalam Perda dan berambus dari Pulau Pinang,” kata jurucakap kumpulan itu, Amir Ghazali di Yayasan Aman. – RF8 Media