Anwar mahu kerajaan lebih tegas bela kemiskinan
Bakal perdana menteri ke 8 Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih tegas membela golongan miskin di negara ini.
Anwar berkata demikian ketika mengulas laporan ‘21st Malaysia Economic Monitor – Making Ends Meet’ yang dikeluarkan Bank Dunia mendapati Malaysia sedang dirundung senario muram ekonomi global.
Menurutnya, semua isu disentuh dalam laporan berkenaan mampu ditangani dengan dasar ekonomi diperkenalkan PH namun ia memerlukan fokus dan iltizam yang jitu dalam melaksanakannya.
“Fokus dan iltizam yang jitu perlu untuk menanganinya kerana ia ternyata memberi kesan kepada ramai warga terutamanya golongan B40.
“Saya yakin keadaan lebih suram di kawasan desa seperti di Kelantan, Kedah dan Terengganu serta di pedalaman Sabah dan Sarawak,” tulis beliau menerusi laman Facebook beliau hari ini.
Anwar berkata, hasil dapatan dalam laporan tersebut sewajarnya meningkatkan kesedaran kepada kerajaan memerintah terutama menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
“Saya juga ingin menggesa kerajaan memantau projek pembangunan oleh kerajaan sebaiknya bagi memastikan tidak ada kebocoran dana kepada pihak-pihak yang tidak sepatutnya,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, laporan tersebut menyatakan harga rumah ternyata ‘parah’ dan ‘membimbangkan’ di banyak wilayah di Malaysia.
“Tambahan pula kadar hutang yang tinggi serta kekurangan simpanan menambahkan lagi rasa gawat pada ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa cadangan laporan tersebut menyatakan perlunya ada komunikasi berkesan berhubung kejayaan dicipta kerajaan PH.
“Ia adalah aspek yang penting dalam membina keyakinan serta memastikan kejayaan dalam melaksanakan dasar-dasar yang diperkenalkan,” katanya.