Peguam Negara mungkin buka semula kes bunuh Altantuya
Kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shariibuu yang tidak diketahui motifnya mungkin dibuka semula susulan Akuan Bersumpah bekas Inspektor Azilah Hadri baru-baru ini
Peguam Negara Tommy Thomas dipetik Bloomberg sedang meneliti kemungkinan untuk membuka semula kes tersebut yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.
Langkah itu diambil selepas bapa mangsa berharap kerajaan baru Malaysia akan mencari keadilan buat anaknya.
Dua bekas polis yang berkhidmat untuk Najib, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar disabitkan kesalahan pada 2006 kerana membunuh Altantuya.
“Semua orang tahu bahawa tidak masuk akal bahawa mereka berdua (bekas polis) sahaja terlibat dalam kes ini,” kata Thomas dalam satu temu bual bersama Bloomberg pada Jumaat.
“Kita tahu bahawa kes ini tidak lengkap,” katanya dipetik
Mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua-dua mereka tetapi Thomas berkata, akuan bersumpah Azilah baru-baru ini menunjukkan mungkin ada sebab lain yang dikaitkan dengan pembunuhan itu.
“Biar polis siasat dahulu dan kita akan menelitinya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan membuka semula kes itu.
Azilah mahu perbicaraan semula dalam kes itu selepas mendakwa Najib mengarahkannya untuk menangkap dan membunuh Altantuya yang didakwa perisik dan ancaman kepada keselamatan negara.
Najib bagaimanapun menafikan terlibat dalam kes itu. Pada Jumaat, Najib membuat sumpah laknat bahawa beliau tidak memberi arahan dan bertemu dengan mangsa.