PBT sedia tempat khas merokok
Penguatkuasaan larangan merokok di premis menjual makanan bukan sahaja menghilangkan hak asasi perokok malah menimbulkan persoalan mengenai diskriminasi kepada penggunaan barangan yang dibenarkan dijual-beli.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia mencapai satu penyelesaian mengenai kaedah menghisap rokok di tempat awam, apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memutuskan pihak berkuasa tempatan (PBT)perlu menyediakan tempat khas merokok secara berperingkat-peringkat.
Hal ini juga diamalkan di kebanyakan negara maju yang mengenakan larangan merokok di premis awam dan menjual makanan.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan pusat akan meminta PBT di seluruh negara untuk menyediakan kawasan merokok itu di kawasan yang sesuai.
“Perancangan ini akan dilaksana secara berperingkat pada tahun depan di PBT yang terplih (terlebih dulu),” kata Zuraida dalam kenyataan, hari ini.
Larangan merokok di premis makanan bermula pada 1 Januari tahun ini tetapi Kementerian Kesihatan memberikan “tempoh penguatkuasaan pendidikan” sehingga akhir tahun ini.
Pada 20 Disember lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye tempoh itu tidak akan dilanjutkan dan penguatkuasaan akan bermula pada 1 Januari ini.
Katanya, sejumlah 5,000 pegawai kesihatan akan menjalankan pemeriksaan dan mengenakan denda sebanyak RM250 kepada perokok yang mengingkari peraturan itu.
Dalam pada itu, Zuraida turut memaklumkan beliau telah melawat kawasan khas merokok yang disediakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang berjarak tiga meteri dari tempat makan awam.
“Ia mematuhi arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Katanya lagi, pihaknya juga akan meminta PBT menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Larangan Pembuangan Sampah kepada perokok yang membuang puntung rokok secara merata-rata.
“Kami berharap para perokok memberi kerjasama agar bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran,” katanya lagi.