Bah termenung, mangsa banjir Segamat belum boleh pulang
‘Bah termenung’ satu istilah banjir yang tidak surut biar pun hujan telah berhenti. Pelbagai faktor menjadi penyebab seperti muka bumi yang rendah, kurang saliran dan sebagainya.
Hal itulah yang menimpa 432 orang daripada 100 keluarga di Segamat, Johor masih belum boleh pulang ke rumah masing-masing kerana banjir masih menakung setinggi kira-kira 0.3 meter
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon menerusi kenyataan berkata setakat 4 petang semalam, kesemua mangsa masih ditempatkan di 9 PPS.
Katanya, kesemua yang terjejas melibatkan penduduk di Jalan Kolam Air, Kampung Batu Badak, Pogoh, Kampung Spang Loi, Kampung Tandong, Kuala Paya, Kampung Sanglang, Kampung Kuing Patah serta Kampung Bukit Tunggal.
Di Kelantan, keadaan banjir gelombang kedua yang melanda negeri itu hampir pulih berikutan keadaan cuaca yang baik sejak semalam.
Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri menunjukkan hanya 187 mangsa daripada 72 keluarga masih ditempatkan di 3 PPS di Pasir Mas setakat 6 petang, berbanding 1,243 orang pada 8 pagi.
Daripada jumlah itu, 21 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh; PPS SK Bakong (93) dan SK Kedai Tanjong (73).
Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas masih melepasi paras bahaya pada bacaan 9.30 meter (bahaya 9 meter).
Di Sabah, jumlah mangsa banjir dari beberapa kampung di Beaufort dan Membakut yang dipindahkan ke PPS di Dewan Selagon berkurangan kepada 141 orang daripada 51 keluarga, berbanding 450 mangsa daripada 160 keluarga, pagi tadi.
PPS di Dewan Selagon, Beaufort dibuka pada 6.15 petang, Khamis selepas lebih 10 buah kampung di Beaufort dan 20 kampung di Membakut terjejas banjir selepas hujan berterusan di kawasan berkenaan.
Agensi Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan beberapa jalan yang menghubungkan kampung yang terjejas banjir sebelum ini kini boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.