Anwar jawab Azmin hadir di majlis ulang tahun Bersatu
Kehadiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada program memperingati ulang tahun ketiga penubuhan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Khamis lalu diangap sebagai sengaja digembar-gemburkan.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain Azmin, beberapa pemimpin parti itu turut hadir pada program berkenaan yang diadakan di Shah Alam namun fokus diberikan hanya kepada Azmin.
Tambahnya, Kehadiran Menteri hal ehwal Ekonomi itu ke Majlis dianjurkan parti rakan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai sesuatu yang biasa dan ianya tidak perlu disensasikan.
“Dia hadir bila dijemput…jadi saya ingat tak berbangkit masalah ini.
“Jamuan ini saya tak pasti saya dapat jemputan tetapi tak ada masalah nak hadir, ada pemimpin (KEADILAN) lain saya ingat Shamsul (Iskandar) hadir. Tapi dia, orang tak pandang.
“Masa perhimpunan agung Bersatu saya pun hadir,” katanya menjawab soalan media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak semalam.
Terdahulu, kehadiran Azmin ke program itu mendapat perhatian ramai. Pelbagai spekulasi termasuk kononnya bekas Menteri Besar Selangor itu yang berdepan situasi sukar dalam parti KEADILAN berminat menyertai parti berkenaan telah timbul.
Spekulasi itu menjadi bualan ketika Azmin dilapor tidak telah beberapa kali hadir ke mesyuarat parti dianggotainya walaupun peringatan mengenai kehadiran telah dibangkitkan sebelum ini.
Sementara itu, Anwar ketika diminta mengulas isu kesetiaan Azmin kepada parti KEADILAN enggan mengulas dan berkata, ia terpulang kepada kebijaksanaan ahli KEADILAN untuk membuat penilaiaan kepada Ahli Parlimen Gombak itu. – RF8 Media