Keyakinan Anwar Ibrahim bahawa beliau akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2020 sebenarnya adalah juga harapan bagi rakyat Malaysia.
Selain beliau merupakan satu-satunya pilihan pengganti yang telah dijanjikan, lawannya yang menyasarkan jawatan yang sama jelas tidak lagi relevan ketika ini.
Juga kata Anwar, “tiada tanda mana-mana parti akan memperkenal atau mempromosi dan melobi nama lain”.
Dengan beliau menggantikan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, wajah baru negara dipercayai akan lebih menyerlah lagi bermula tahun 2020 nanti.
Menyingkap deretan idea-idea baru ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum ini serta derita yang ditanggungnya dalam perjuangan pembangkang sehingga berjaya menjadi kerajaan, Anwar diyakini lebih menyasarkan kepentingan rakyat dan negara ketika kuasa dalam genggamannya berbandinh segala kepentingan lain.
Lagi pula, tempoh dua tahun bagi Tun Mahathir memegang kuasa sejak 10 Mei 2018 adalah sesuatu yang munasabah untuk melakukan peralihan kuasa kepada Anwar.
Biarlah negara ini dipimpin seseorang yang arif tentang pembaharuan, reformasi dan Malaysia Baru lantaran telah bergelumang dengannya sejak 1998 lagi.
Reformasi akan terus menyerlah dan berkembang seiring dengan harapan rakyat memilih PH dalam pilihanraya lalu sebaik saja Anwar mengambil alih teraju negara ini daripada Tun Mahathir. (Shahbudindotcom 18/09/2019)