Piagam Muafakat: Pas buktikan segala pembohongan – Mahfuz
Pelbagai kritikan dilemparkan kepada Pas selepas menadatangani piagam kerjasama dengan Umno pada 14 September lalu.
Terbaharu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar menyindir tindakan Pas itu sebagai melengkapkan segala pembohongan.
Menurut bekas Naib Presiden Pas itu, beliau dan rakan-rakan yang menentang Kerajaan Perpaduan (UG) Pas – Umno suatu waktu dahulu dikecam hebat kononnya sengaja memburuk-burukkan kepimpinan ulama dan kemuncaknya diusir secara halus keluar parti selepas 2016.
Namun pada hari ini, terbukti pihak mana yang bersikap munafik dan membenarkan dakwaan wujudnya percubaan untuk bekerjasa sejak era Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai Mursyidul Am Pas, yang terkenal keras menentang UG.
“Saya nak ucapkan terima kasihlah kepada pimpinan Pas yang telah memperakui selama ini mereka telah berbohong kepada ahli-ahli bawahan.
“Mereka kata tidak sekali-kali, ini semua bisikan syaitan, tidak akan bersama Umno. Kononnya kalau bersama ibarat menanggung biawak hidup dan sebagainya.
“Mereka nafikan (suatu ketika dahulu). Namun apa yang saya dan rakan-rakan katakan semuanya hari ini diperakui oleh pimpinan Pas sendiri. Kerjasama dengan Umno itu nyata,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Seterusnya, Naib Presiden Amanah itu mengingatkan ahli Pas agar tidak termakan dengan pembohongan berlandaskan hujah-hujah agama.
Katanya, hujah Pas kononnya kerjasama itu adalah penyatuan untuk menegakkan Islam di Malaysia adalah palsu kerana pemimpin Umno masih tidak bersih daripada tuduhan penyelewengan, perlembagaan Umno masih lagi sekular dan tidak ada janji untuk menegakkan undang-undang Islam sebagaimana perjuangan Pas selama ini.
Menurut Mahfuz lagi, kerjasama Pas – Umno adalah bertujuan politik semata-mata dan tiada kaitan dengan agama.
“Ini adalah gambaran kepura-puraan Pas dan Umno yang menyandarkan kerjasama poliitk mereka kepada soal penyatuan ummah, muafakat ummah dan sebagainya. Menggunakan terma-terma yang berkaitan Islam.
“Sedangkan hakikatnya piagam itu bukan penyatuan ummah. Ini penyatuan dua parti politik bagi tujuan merampas kuasa daripada kerajaan Pakatan Harapan yang sedang memerintah. Itu sahaja,” katanya. – RF8 Med