Jerebu: Kementerian Belia dan Sukan anjur kerja dari rumah
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan dasar pragmatik untuk bekerja dari rumah sekiranya indeks pencemaran udara akibat jerebu semakin teruk, melebihi paras 200.
Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kementerian akan mengedarkan pekeliling bagi memastikan dasar itu dapat dilaksanakan berikutan ramai kakitangan KBS bertugas di luar dan terdedah kepada bahaya jerebu.
“Pegawai dan staf akan melaksanakan pekeliling ini atas budi bicara ketua jabatan yang akan memantau perkembangan kerja dan memastikan kualiti kerja terjaga bagi memastikan perkhidmatan terbaik terus diberikan kepada rakyat.
“KBS sedar akan bahaya dan ancaman kepada semua warga KBS. Polisi ini dilaksanakan bagi memastikan kualiti hidup warga KBS terus terbela dan ia selaras dengan arahan penutupan sekolah-sekolah di kawasan yang terlibat,” katanya.
Katanya KBS percaya langkah ini adalah satu keperluan dan ia boleh diseragamkan di semua kementerian dan agensi kerajaan yang lain.
Berdasarkan bacaan IPU di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga pukul 6 petang ini, sebanyak sembilan kawasan mencatat kualiti udara sangat tidak sihat iaitu Kulim Hi-Tech, Kedah (206); Minden (230) dan Balik Pulau, Pulau Pinang (257); Petaling Jaya (207), Johan Setia, Klang (258) dan Shah Alam, Selangor (216); Nilai, Negeri Sembilan (210); serta Sri Aman (228) dan Kuching, Sarawak (215).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. – RF8 Media