Rundingan kerusi parlimen PH selesai, mula bahagi DUN
Pakatan Harapan (PH) ketika ini sudah hampir menyelesaikan keseluruhan rundingan kerusi Parlimen dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata, rundingan kerusi kini masuk fasa ke-2 iaitu fasa rundingan di peringkat negeri.
“Rundingan kerusi berjalan lancar semua kerusi Parlimen kini akan selesai pada akhir bulan ini. Kita sekarang ini ke fasa kedua. Sebab itu saya berani umum 100 kerusi.
“Apa yang PH berikan perhatian adalah rundingan kerusi berdasarkan parti bukannya calon bertanding dan sudah tentu akan ada muka baru yang akan diperkenalkan,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah hari ini.
Saifuddin berkata, dalam pembahagian kerusi itu sudah termaktub PH tidak akan bekerjasama dengan PAS dan segala perancangan strategik sudah dilakukan.
“Kita hendak masuk PRU sudah tentu hendak menang. Hakikatnya kita kena praktikal, kita sudah lihat semua faktor, kerusi yang kita tandingi ada peluang untuk kita menang,” katanya.
Saifuddin berkata, berdasarkan analisa dilakukan, kerusi di Sabah dan Sarawak lebih unik dan mencabar berbanding kerusi yang selalu diperkatakan iaitu di Selangor.
“Yang unik bukan di Selangor, tetapi Sabah dan Sarawak. Kerusi Selangor sama sahaja seperti negeri lain,” katanya.