Lantikan pengerusi negeri mudahkan PH rangka strategi serang BN
Strategi Pakatan Harapan (PH) melantik seorang ‘Pengerusi Negeri’ dari parti komponen merupakan satu tindakan berkesan untuk menguruskan aktiviti pilihan raya umum di setiap negeri.
Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Strategi Amanah, strategi tersebut akan menyenangkan semua pihak dalam PH merangka program bersama dan mengelakkan tugasan bertindih di antara rakan-rakan dalam koalisi.
“Memandangkan Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan dalam tahun ini, selewat-lewatnya pada hujung bulan November, kami dalam Pakatan perlu menyelaraskan tugas masing-masing.
“Satu negeri di bawah satu pengerusi yang akan menguruskan koordinasi semua program dan aktiviti parti-parti dalam Pakatan di negeri tersebut supaya semua boleh berjalan lancar.
“Pengerusi Negeri akan bertugas sebagai ‘Central Command’ atau ‘Kawalan Pusat’ yang akan memastikan semua pihak dalam PH akan menyelesaikan tugas masing-masing yang diberikan kepada mereka,” kata Dr. Dzulkefly kepada Suara pakatan daily.
Beliau berkata Amanah yang diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi Negeri di Kelantan, Terengganu dan Melaka akan melaksanakan gerak kerja, penyelarasan jentera pilihan raya dan kempen secara bersama dengan Bersatu, PKR dan DAP.
Perlantikan Pengerusi Negeri juga, katanya, akan memudahkan parti-parti menembusi kawasan luar bandar dan mengadakan ceramah serta kempen di sana. Terutama di negeri yang mana satu-satu parti tidak mempunyai pengaruh, misalnya DAP di kawasan Melayu. Kekurangan itu akan ditampung oleh penyokong dari parti-parti yang berpengaruh di kawasan berkenaan.
“Yang amat perlu sekarang ialah memberi maklumat sepenuhnya berkenaan dengan situasi ekonomi negara kepada penduduk di kampung kerana pengundi di kampunglah yang akan menentukan kedudukan sebahagian kerusi di Parlimen.
“Lagipun mereka langsung tidak mendapat maklumat sebenar berkaitan isu ekonomi mahu pun berita dari pelabur asing mengenai situasi di negara kita.
“Oleh itu, banyak kerja lagi yang perlu dilakukan oleh Pakatan dan saya berpendapat mungkin PRU14 akan diadakan dengan tiba-tiba supaya kita tidak akan ada masa untuk bertemu penduduk kampung,” katanya lagi.
Untuk mengekalkan kekuasaan BN, Dr Dzulkefly menegaskan pengundi Melayu akan menjadi tumpuan dalam PRU14.
Justeru itu, katanya, isu harga barang naik, harga minyak dan kos sara hidup serta kebarangkalian tinggi kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan akan dinaikkan selepas PRU14 perlu diberi tumpuan utama dalam kempen-kempen PH.