KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Sayap wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini menyatakan sokongan terhadap penganjuran himpunan aman, “Wanita Bantah Politik Toksik” yang akan diadakan pada 10 September akan datang.
Wanita HARAPAN dalam sidang medianya berkata, usaha berkenaan mampu membawa mesej yang jelas mengenai penolakan oleh golongan wanita terhadap gaya politik yang tidak mempunyai nilai baik terhadap masyarakat dan negara.
“Negara ini khususnya melalui peranan wanita perlu bangkit dengan segala kekuatan bagi menghentikan segera kedurjanaan amalan politik toksik without fear and favour.
“Malaysia perlu dibina semula dengan rasa penuh tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan keamanan, kebaikan dan rahmat untuk semua.
“Sekaligus bangkit memastikan semua entiti khususnya institusi-institusi awam kembali berperanan aktif dan efektif mendokong serta mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan serta kesusilaan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ketua Wanita Harapan, Zuraidah Kamarudin (PKR); dan tiga Timbalan Ketua Wanita Harapan iaitu Chong Eng (DAP), Dr. Siti Mariah Mahmud (Amanah) serta Rina Mohd Harun (PPBM).
Wanita HARAPAN berkata, perjuangan memerangi politik toksik bukan sahaja perlu dipikul oleh golongan wanita yang sinonim dengan tugas mendidik, namun harus turut disertai golongan lelaki tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik.
“Kami menyeru seluruh wanita tanpa mengira kecenderungan politik agar turun dan turut sama hadir menjayakan bantahan ini secara besar-besaran.
“Ini penting demi perjuangan dan kelangsungan peradaban dalam politik negara sebagai lambang keprihatinan kita semua tentang masa depan Malaysia,” tambah mereka.