WANG TUNAI DIRAMPAS DI PAVILION RESIDENCES BERJUMLAH RM120 JUTA
Wang tunai dirampas di Pavilion Residences berjumlah RM120 juta
Wang tunai yang dirampas di Pavilion Residences, Kuala Lumpur sudah habis dikira dan ia dilapor bernilai kira-kira RM120 juta.
“Proses kiraan wang tunai itu bermula pada Isnin (21 Mei) dan penyiasat mengambil masa lama bagi memastikan proses itu dijalankan dengan teliti.
“Sebanyak 30 beg wang tunai dikira oleh pegawai polis dengan bantuan pegawai Bank Negara.
“Jumlah keseluruhannya kira-kira RM120 juta,” menurut sumber yang dipetik oleh The Star.
Wang tunai itu antara 284 kotak rampasan selain beg tangan berjenama, jam dan permata. Terdapat juga mata wang asing.
Serbuan itu sebahagian daripada siasatan terhadap 1MDB.
Jumaat lepas, polis merampas wang tunai dan barangan bernilai di enam lokasi yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.
Dalam laporan polis, Najib mendakwa wang tunai yang dirampas dari Pavilion Residences itu adalah derma rakan-rakan untuk kempen pilihan raya BN.
TUN MAHATHIR TIDAK PINDAH KE KEDIAMAN RASMI
Tun Mahathir tidak pindah ke kediaman rasmi
Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak akan berpindah ke Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia di Putrajaya, kata anak perempuan mereka Datin Paduka Marina Mahathir.
Sebaliknya, mereka akan terus tinggal di rumah sendiri, katanya dalam catatan Facebook beliau hari ini.
“Ia selesa tapi tidak ada ruang lagi untuk barang-barang lain,” kata Marina sambil menyampaikan permintaan Dr Siti Hasmah kepada orang ramai supaya tidak lagi mengirim hadiah yang mengiringi perutusan tahniah sempena kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada dua minggu lepas.
Marina berkata sejak kemenangan itu yang dicapai pada 9 Mei, Dr Siti Hasmah menerima begitu banyak ucap selamat daripada orang ramai, serta perutusan tahniah kepada ibu bapanya.
“Beliau amat berterima kasih dan menghargai ingatan tulus ikhlas, doa dan perutusan daripada anda semua. Kebanyakan perutusan ucap selamat itu turut diiringi dengan kiriman bunga, makanan dan hadiah lain,” katanya.
Marina seterusnya menulis: “Beliau (Dr Siti Hasmah) meminta saya berpesan supaya tidak perlulah lagi mengirim hadiah kerana mengikut peraturan kerajaan Pakatan Harapan, pertama, semua ahli politik tidak dibenarkan menerima sebarang hadiah kecuali bunga dan makanan.
“Kedua, walaupun hadiah yang diberi itu sederhana sahaja, ia akan memakan banyak ruang. Oleh itu, beliau memohon pefahaman anda supaya tidak mengirim apa jua kepadanya, walaupun menjelangnya Hari Raya.”
Beliau berkata Dr Siti Hasmah sebaliknya meminta orang ramai memberi sumbangan mereka kepada badan amal pilihan masing-masing.
“Perbuatan itu lebih menggembirakan beliau,” kata Marina.
Dr Mahathir, 92, kembali menerajui kerajaan selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum baru-baru ini sekaligus menjadikan beliau perdana menteri tertua di dunia.
Beliau menjadi perdana menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003
PASUKAN KHAS SIASATAN 1MDB JUMPA JUSTO
Pasukan khas siasatan 1MDB jumpa Justo
Pasukan petugas khas bagi menyiasat skandal 1MDB ada berjumpa dengan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo semalam.
“Jumpa dia semalam,” kata anggota pasukan itu Tan Sri Abu Kassim Mohamed ringkas.
Pada jam 3 petang tadi difahamkan pasukan petugas khas berkenaan bermesyuarat berkaitan skandal 1MDB.
Pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB itu akan memberi tumpuan antara lainnya bagi mendapatkan semula semua dana yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB dan disimpan di luar negara.
Selain Abu Kassim, pasukan itu terdiri daripada bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.
Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang di kalangan petugas media bahawa Justo berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk merakamkan kenyataannya.
Ketika dihubungi, Justo enggan mengulas sama ada beliau telah atau akan berkongsi maklumat berkaitan dengan suruhanjaya itu.
Justo muncul di Malaysia minggu lepas tetapi dengan motif yang masih misteri. Setakat ini dia telah bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
PetroSaudi International, tempat Justo pernah berkhidmat, menjadi terkenal selepas terlibat dalam usaha sama dengan 1MDB.
1MDB melabur AS$1 bilion untuk usaha sama itu. Bagaimanapun AS$700 juta telah dilencongkan ke syarikat misteri Goodstar Limited.
Goodstar dimiliki oleh hartawan kontroversi Pulau Pinang Jho Low, berdasarkan nota Bank Negara kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Justo mendakwa peranannya membocorkan dokumen – kebanyakannya e-mel antara pegawai PetroSaudi, Low dan pemain-pemain warga Malaysia – menyebabkannya dia diperangkap dalam pendakwaan mengugut di Thailand.
Setakat ini, pihak berkuasa Malaysia dan media arus perdana mendakwa Justo menjual maklumat kepada Sarawak Report yang kemudian “memanipulasinya”.
Selepas dipenjarakan 17 bulan, Justo mendapat pengampunan Raja Thai.
TEMBELANG 1MDB SEMAKIN TERDEDAH.....
Berikutan pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam bahawa kerajaan telah menyelamatkan pembayaran hutang 1MDB dengan jumlah hampir RM7 bilion sejak April 2017, CEO syarikat itu, Arul Kanda Kandasamy telah dipanggil untuk menjelaskan beberapa perkara kepada Kementerian Kewangan.
Arul Kanda yang ketika musim kempen PRU14 lalu pusing seluruh negara menceritakan kekukuhan 1MDB, tetapi di hadapan Guan Eng beliau menyatakan tidak tahu menahu tentang kedudukan kewangan syarikat tersebut.
Arul Kanda juga menyatakan tidak pasti berkaitan dana pelaburan berjumlah RM9.8 bilion milik 1MDB yang disimpan dalam Brazen Sky Ltd atau sama ada ia benar-benar wujud atau tidak.
Sehubungan itu, Guan Eng melabelkan Arul Kanda sebagai tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.
Beliau juga kemudian mengarahkan penasihat undang-undang Kementerian Kewangan agar menyemak semula kedudukan Arul Kanda dalam 1MDB, selain mengambil alih pejabat syarikat itu.
Yang lebih mengejutkan, Guan Eng turut mendedahkan bahawa hanya Arul Kanda satu-satunya pekerja 1MDB sejak awal tahun ini.
Dalam pada itu, seorang ahli lembaga pengarah 1MDB, Kamal Mohd Ali dalam pengakuannya kepada Guan Eng mengatakan pelaburan unit dana bernilai RM9.8 bilion yang disimpan oleh anak syarikatnya, Brazen Sky Ltd adalah suatu bentuk penipuan.
"Kamal menggelarkan pelaburan itu suatu penipuan kerana pengurusan 1MDB berulang kali gagal membekalkan kepada lembaga pengarah dengan sebarang bukti mengenai kewujudan pelaburan itu sejak lebih dua tahun lalu," tambah Guan Eng lagi.
Hakikat itu lebih terserlah apabila Arul Kanda sendiri yang sebelum berulang kali mengatakan pelaburan itu wujud, kini sudah berubah nada dengan berkata tidak pasti mengenainya.
Berkait perkembangan yang sama, Guan Eng juga memaklumkan mengenai pengesahan bertulis oleh bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir kepada Kementerian Kewangan pada Mac lalu bahawa syarikat itu tidak mampu membayar hutang faedahnya yang mesti dilunaskan sebelum akhir April dan Mei 2018.
Sehubungan itu, bagi hutang faedah 1MDB berjumlah RM143 juta yang mesti dibayar pada minggu depan, Guan Eng mengambil keputusan enggan menandatangani dokumen kebenaran agar Kementerian Kewangan melangsaikannya.
"Saya terkejut bila mendapati dokumen pertama yang harus saya tandatangani ialah untuk membayar hutang 1MDB.
"Saya enggan tandatanganinya kecuali saya lihat kesemua dokumen yang relevan terlebih dahulu," kata Guan Eng lagi.
Bagi maksud tersebut, Guan Eng mengarahkan Arul Kanda menjawab secara bertulis kepada Kementerian Kewangan terlebih dahulu sama ada 1MDB mampu membayar hutang RM143 juta itu atau sebaliknya.
Agak-agak apakah jawapan bertulis Arul Kanda nanti?
Bayangkan, baru dua hari Guan Eng memasuki pejabatnya sebagai Menteri Kewangan, beliau sudah mendedahkan banyak "kong kali kong" atau tembelang 1MDB yang selama ini tertutup rapi.
Segala-galanya tidak lain ialah kerana Najib Razak yang ada kepentingan dalam penubuhan 1MDB adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam waktu yang sama.
Selepas ini, pasti lebih banyak pembongkaran yang lebih mengejutkan lagi akan menjadi tatapan kita semua.
Sejujurnya, kita harus bersyukur kepada Tuhan atas keberanian rakyat Malaysia melakukan perubahan dengan menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya 9 Mei lalu.
Jika BN masih kekal berkuasa, semua tembelang itu akan terus tertutup rapi dan kita sebagai rakyat serta pembayar cukai akan ditipu sepanjang hayat dengan pelakon utamanya ialah Najib sendiri. (ShahbudinHusin 24/05/2018).
USAHA BAWA PAS SERTAI PH?
USAHA BAWA PAS SERTAI PH?
Ada usaha dilakukan orang ketiga yang salah seorang bekas pemimpin tertinggi Pas untuk membawa Pas bersama Pakatan Harapan.
Ada usaha dilakukan orang ketiga yang salah seorang bekas pemimpin tertinggi Pas untuk membawa Pas bersama Pakatan Harapan.
Keperluan itu difahamkan untuk kebaikan dua pihak, menstabilkan kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu dan ia juga memastikan Dr Mahathir Mohamad mentadbir dengan baik.
Kedudukan dua kerajaan Pas di Kelantan dan Terengganu itu tidak berada dalam kondusif sekiranya Pas terus dengan sikapnya kini, berada di luar kerajaan. Makanya pendekatan persefahaman perlu dibentuk segera.
Alasan usaha itu juga kononnya bagi mengukuhkan kedudukan Dr Mahathir yang disifatkan sebagai berada dalam keadaan tidak mantap.
Tidak dijelaskan apakah maksud tidak mantap itu ia berkemungkinan ada gangguan dari dalaman terhadap Dr Mahathir?
Usaha ini bagaimana pun peringkat awal, ia belum dibawa kepada pimpinan teratas Pas dan juga Dr Mahathir.
Dalam pada itu disyaki permintaan MB Kelantan Ahmad Yakob untuk bertemu dengan Dr Mahathir bagi membincangkan isu-isu berkaitan Federalisme ada sangkut paut dengan usaha berkenaan?
MSO

Pilihan raya semula bakal berlaku?
Izinkan saya menulis panjang sekali lagi.
Saya memerhatikan bagaimana gembiranya penyokong-penyokong PAS terhadap kemenangan keatas Kelantan dan Terengganu.
Saya menulis dengan harapan, tuan-puan yang membaca tulisan saya ini boleh memanjangkan tulisan ini sehingga sampai ke telinga penyokong Pas.
Mereka bersorak gembira, kerana Kelantan dan Terengganu telah kembali ke tangan Pas, mereka juga bersorak gembira bertakbir dengan menyatakan Pas boleh menjadi Kingmaker di Perak.
Mereka bertakbir sekuat kuat terhadap kedudukan kerusi Dun di Kedah, dengan harapan BN akan ‘join’ mereka atau terwujudnya kerajaan campuran.
Saya mempunyai bayangan terhadap apa yang akan berlaku, berikut ini bayangan saya.
KES 2.6B DUIT KE POKET NAJIB
Seperti kata Tun M, “kami tidak ingin untuk membalas dendam, tetapi kami akan memartabatkan undang-undang”.
Tun M Dan seluruh MP yang Menyokong PH, setelah mengangkat sumpah sebagai PM ke-7 di Malaysia, setelah mengisytiharkan barisan Kabinet Menteri, pertama tama sekali akan membuka siasatan terhadap 1MDB.
Satu public inquiry akan dibentuk diketuai oleh kolenel bebas, akan diberikan mandat diRaja, akan menyiasat habis-habisan semua yang angka-angka yang terseleweng dalam 1MDB.
Semua angka angka ini akan dijejaki sehingga ke titisan akaun yang terakhir, sehingga sampailah ke akaun Najib tentang bagaimana 2.6 bilion boleh terterjah ke akaun peribadi Najib.
Sampailah dari akaun Najib, akan dijejaki duit rakyat berkenaan tentang siapa yang telah menerimanya, termasuklah pemimpin Pas yang dituduh menerima RM90 juta dari Najib.
Semua jejak ini saya pasti akan diketuai oleh Sdr Rafizi Ramli, dan dalam Public Inquiry DiRaja ini semua yang terlibat akan dipanggil untuk mendedahkan akaun dan transaksi masing-masing.
Hasil daripada Public Inquiry DiRaja ini, akan dirumuskan dan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk dibuka kes di Mahkamah Persekutuan, atau secara terus kepada Mahkamah Persekutuan Malaysia.
KES DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN
Sekiranya kes berada di Mahkamah Persekutuan, maka yang dituduh berkenaan akan didakwa.
Semua duit 1MDB yang masuk ke akaun peribadi masing-masing, termasuk ke dalam akaun peribadi pemimpin Pas atau akaun Pas sendiri, akan diaudit pergi ke manakah duit rakyat ini.
Jika duit rakyat ini dijejaki dan disahkan digunakan untuk kempen pilihan raya ke-14, sama ada oleh BN, atau Pas, satu permohonan rasmi akan dibuat oleh Suruhanjaya Pendengaran Awam DiRaja untuk MEMBATALKAN kemenangan wakil-wakil Pas dan BN, sama ada untuk kerusi Dun mahupun Parlimen.
JIKA ITU BERLAKU
Akan berlakulah pilihan raya baharu terhadap semua kerusi kerusi Dun dan Parlimen baik dimenangi Pas atau Umno. Kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu akan diisytiharkan tidak sah.
Kali ini, penyokong Pas akan mengetahui bagaimana rupanya hati ulama-ulama Pas, bagaimana dahsyatnya sandiwara ulama-ulama Pas.
Kali ini mereka akan menelan sesuatu yang terlalu pahit, semua ludah mereka terhadap Parti AMANAH Negara akan menjadi satu igauan ngeri. Terbogel habis semua yang selama ini disembunyikan oleh ulama-ulama Pas melalui hadis-hadis dan ayat al-Quran yang digunakan untuk memperbodohkan penyokong tegar Pas.
JIKA BERLAKU PILIHAN RAYA SEMULA
SPR akan diganti dengan kepimpinan baru, barangkali Datuk Ambiga akan diangkat menjadi pengerusi.
Pada waktu tersebut, pilihan raya tidak akan lagi menjadi pilihanraya blackout, tetapi pilihan raya paling telus.
Dahulu sebelum PRU ke-14, kita dimasukkan ke dalam neraka oleh pendokong-pendokong PAS.
Kali ini, mereka berdepan dengan “neraka” yang mereka cipta. Pemimpin Pas yang terlibat dalam mengambil 90 juta semestinya akan diadili sebaik-baiknya melalui lunas undang-undang Malaysia.
Kali ini Kelantan dan Terengganu akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan, Kelantan akan kembali dikemudi oleh Ustaz Nik Omar manakala Terengganu, well, nanti mereka pilihlah antara mereka.
Semua kerusi kerusi Pas dan Umno yang dimenangi, akan bertukar milik kepada PH.
Kali ini penyokong Pas akan mempelajari sesuatu yang sangat penting dalam siasah Islam, iaitu Islam diperjuangkan melalui akhlak terlebih dahulu.
Itulah yang saya bayangkan, itulah yang saya rasa akan jadi.
Sebab itu Sdr Husam Musa tak mengomel berkenaan kekalahan mereka, sebab mereka tahu, inilah yang akan berlaku kelak selepas 6 bulan PH memerintah Persekutuan.
Sesungguhnya inilah bayangan yang saya bayangkan, yang bakal terjadi.
Penyokong tegar Pas, berdoalah ini akan terjadi, dan anda akan lihat sendiri, akhlak ulama-ulama Pas yang anda puja-puja.
PUNCA UMNO KALAH: NAJIB TIDAK DENGAR DESAKAN LETAK JAWATAN
Punca Umno kalah: Najib tidak dengar desakan letak jawatan
Bekas timbalan menteri dalam negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa Datuk Seri Najib Razak enggan meletakkan jawatan sebagai presiden Umno susulan kekalahan besar parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini sehinggalah beliau dipaksa melakukan sedemikian.
“Walaupun selepas kami kalah pilihan raya, beliau enggan meletakkan jawatan sebagai presiden parti sehinggalah beliau dipaksa melakukan sedemikian pada 12 Mei,” katanya kepada FMT.
Nur Jazlan yang kalah di kerusi Parlimen Pulai di Johor kepada Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata ahli Umno mahu Najib meletakkan jawatan secara sukarela, seperti bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ini untuk memastikan parti itu “tidak berpecah”, katanya.
Susulan kehilangan majoriti 2/3 untuk Barisan Nasional pada 2008, Abdullah memutuskan untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada penggantinya yang terpilih bagi mengambil alih parti pemerintah yang kelihatan semakin lemah selepas 5 dekad berkuasa.
Apabila disoal sama ada terdapat seruan sama terhadap Najib meletakkan jawatan sebelum PRU pada 9 Mei, Nur Jazlan berkata:
“Bagaimana anda tahu sama ada kami ada melakukan sedemikian? Apa pun, beliau tidak mendengar.”
Apabila ditanya berkenaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memanggil Najib untuk disoal tentang bagaimana RM42 juta dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, dimasukkan ke dalam akaun banknya, Nur Jazlan berkata: “Mereka hanya menjalankan tugas.”
SRC ditubuhkan pada 2011 oleh kerajaan untuk mendapatkan pelaburan luar dalam sumber tenaga, dan merupakan unit 1MDB sehinggalah ia dipindahkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.
Nur Jazlan baru-baru ini memberitahu akhbar The Sun, Najib seharusnya dapat meramal kejatuhan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Beliau mengaitkan kekalahan mnegejutkan itu dengan kegagalan Najib menjelaskan dakwaan korupsi terhadapnya dan isu-isu berkaitan 1MDB.
Beliau juga berkata Najib sepatutnya tahu berkenaan perkara itu berdasarkan komen-komen di media sosial tentang isu dikaitkan dengan dirinya dan keluarga.
Nur Jazlan mengulas kenyataan Najib yang pemimpin BN sepatutnya lama bersuara jika mereka fikir pimpinannya bermasalah.
Ia selepas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Umno sudah tidak nampak realiti dengan memikirkan ia tidak akan kalah.
Nur Jazlan berkata Najib seharusnya mampu menjawab semua dakwaan terhadap dirinya dan keluarga semasa beliau berkhidmat sebagai perdana menteri kerana ini akan memulihkan kredibiliti parti
LEBIH PERUNTUKAN KEMENTERIAN KESIHATAN SELESAI MASALAH
Lebih peruntukan Kementerian Kesihatan selesai masalah
Kementerian Kesihatan akan memohon lebih peruntukan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi kementerian itu ketika ini.
Menteri Kesihatan yang baharu dilantik, Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara masalah utama dihadapi kementerian ialah proses penempatan graduan perubatan sebagai pegawai perubatan siswazah atau ‘housemanship’, harga ubat mahal, tempoh menunggu pesakit di hospital dan sasaran mencapai nisbah seorang doktor bagi 400 penduduk menjelang 2030.
“Masalah ini berikutan peruntukan diterima Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2018 tidak mencukupi untuk menanggung kos yang ditanggung kementerian membabitkan isu-isu tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat dan mendengar taklimat daripada Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan anggota pengurusan tertinggi kementerian itu semalam.
Dzulkefly berkata kementerian juga akan memberi perhatian serius terhadap isu kebajikan serta beban kerja kakitangan profesional perubatan dan akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasinya nanti.
“Ini cabaran dihadapi kementerian ekoran daripada peruntukan bajet yang tidak mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly berkata beliau juga merancang melaksanakan Skim Peduli Sihat yang dilaksanakan di Selangor untuk diperkenal ke seluruh negara bagi memenuhi manifesto Pakatan Harapan dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.
Di Selangor, rakyat berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan yang berdaftar dengan Skim Peduli Sihat akan menerima rawatan hospital secara percuma, katanya.
GAJI MENTERI DIPOTONG 10% – TUN MAHATHIR
Gaji menteri dipotong 10% – Tun Mahathir
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan gaji jemaah menteri akan dipotong sebanyak sepuluh peratus.
Beliau berkata ia bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terhadap masalah kewangan kerajaan.
“Jemaah menteri setuju supaya gaji menteri dipotong 10 peratus…(Potongan) ini berdasarkan gaji asas,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya pagi ini.
Beliau berkata sesetengah pegawai kerajaan kini mendapat gaji lebih tinggi daripada menteri kabinet.
Namun, katanya lagi, kabinet tidak bercadang untuk menaikkan gaji anggotanya.
“Ini tabiat saya. Ketika pertama kali menjadi perdana menteri (pada 1981), perkara pertama yang saya buat adalah potong gaji menteri dan pegawai kanan kerajaan,” katanya lagi.
PM UMUM BUBAR JKKK, PEMANDU, SPAD, JASA, MAJLIS PROFESOR NEGARA
PM umum bubar JKKK, Pemandu, SPAD, JASA, Majlis Profesor Negara
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pembubaran lima agensi dan jawatankuasa kerajaan – Majlis Profesor Negara (MPN), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKK), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Beliau membuat pengumuman itu semasa sidang akhbar mesyuarat pertama Kabinet yang baru hari ini, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Dalam kes JKKK yang dilantik oleh kerajaan persekutuan, perdana menteri berkata jawatankuasa berkenaan menjadi terlalu berunsur politk sedangkan peranannya dapat dilaksanakan oleh pegawai kerajaan lain.
Sementara itu, peranan SPAD akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan.
Dalam pada itu, Mahathir berkata, proses penamatan penjawat awam lantikan kontrak yang berkaitan politik akan diteruskan namun kerajaan akan mengambil kira golongan yang berpendapatan rendah
‘Kevin Morais yang salurkan maklumat kes penyelewengan 1MDB kepada saya’ – Clare
Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown mendedahkan, mendiang Kevin Morais yang menyalurkan maklumat mengenai siasatan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd yang pernah menjadi anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya dihubungi secara langsung oleh orang itu (yang menyiapkan kertas pertuduhan). Saya rasa dia adalah Kevin Morais.
“Saya mempunyai sumber yang saya tidak akan dedahkan, sumber yang boleh dipercayai memberitahu ia adalah Kevin Morais,” katanya.
Tiga tahun lalu, adik kepada mendiang Kevin iaitu Charles, membuat akuan berkanun yang mendakwa Kevin merangka kertas pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib Razak dan menghantar salinannya kepada Sarawak Report.
Kertas-kertas pertuduhan itu dihantar sehari selepas Najib memecat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan beberapa pegawai tinggi dalam kerajaan yang didakwa cuba mengulangi pendakwaan terhadapnya.
Kertas-kertas pertuduhan itu dihantar sehari selepas Najib memecat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan beberapa pegawai tinggi dalam kerajaan yang didakwa cuba mengulangi pendakwaan terhadapnya.
Menurut kenyataan Charles kepada media, dia tidak percaya bahawa dakwaan kononnya mendiang Kevin diculik dan dibunuh mempunyai kaitan dengan beberapa kes rasuah beberapa individu yang sedang menghadapi perbicaraan ketika itu. Charles kemudian menuntut bedah siasat kali kedua.
Mendiang Kevin dipercayai telah diculik pada 4 September 2015 dan dicekik sehingga mati sebelum mayatnya disumbat dalam tong dram yang kemudian diisi dengan simen.
Pihak berkuasa menemui tong dram tersebut di Persiaran Subang Mewah, berhampiran Subang Jaya selepas dua minggu mangsa dilaporkan hilang.



Seperti Charles, Clare juga meragui penjelasan rasmi terhadap pembunuhan itu dan menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan mendalam terhadap kes itu.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada minggu lalu mengesahkan, Gani Patail telah ditamatkan kontraknya kerana beliau telah bersedia untuk melakukan pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, selepas pihaknya mengesan sejumlah wang RM42 juta milik SRC dimasukkan ke dalam akaun peribadi individu-individu tertentu.
Bagaimanapun, Najib menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa beliau tidak bersalah.
Sumber: Malay Mail via The Reporter
JUMPA MAJLIS RAJA-RAJA, MENTERI DEDAH SKANDAL 1MDB – SHUKRI
Jumpa Majlis Raja-raja, menteri dedah skandal 1MDB – Shukri
Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mendedahkan beliau dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed pernah menghadap Majlis Raja-raja sebanyak 2 kali pada 2015 mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
“Kami bertemu Majlis Raja-raja sebanyak 2 kali. Kami 2 kali bertemu dengan mereka.
“Tetapi kami kecewa,” kata ketua pesuruhjaya baru SPRM itu pada sidang media di ibu pejabat agensi itu hari ini.
Shukri yang memegang jawatan timbalan pengarah operasi SPRM pada 2015, mengetuai siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd dan sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun bank bekas perdana menteri itu.
Shukri berkata, beliau turut menemui beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) ketika itu untuk menceritakan kebenaran isu 1MDB serta menggesa Najib digantikan bagi menyelamatkan keadaan.
“Kes RM2.6 bilion adalah kes benar. Saya kata buang Najib dan ganti dengan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi atau (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein untuk jadi perdana menteri.
“Tetapi, dalam ramai-ramai menteri yang kami jumpa, 3 sahaja berani bersuara, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
“(Pemimpin) yang lain semua tak nak dengar. Saya dah kata saya tidak ada sebarang kepentingan. 1MDB bukan cerita rekaan, ini kes terlalu besar yang tidak boleh dilindungi, usahanya tidak berjaya.”
Shukri turut mendedahkan seorang “ahli Parlimen dari utara” cuba menyogoknya untuk menutup kes 1MDB, pada 2015.
Tanpa menyebutkan nama wakil rakyat BN itu, katanya, ahli politik itu menghubunginya 2 kali ketika beliau sedang melengkapkan siasatan.
“Ahli Parlimen itu tanya ‘you’ (saya) nak apa?
“Saya cakap jangan masuk campur siasatan saya. Saya tidak mahu apa-apa, saya hanya menjalankan tanggungjawab dan saya tidak mempunyai kepentingan dalam kes ini.”
Sementara itu, dalam nada sebak, Shukri menceritakan kebimbangan apabila 2 pegawainya ditukarkan ke jabatan lain ketika beliau melarikan diri ke Amerika Syarikat.
Beliau kemudian menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Paul Low untuk meminta 2 pegawainya dikembalikan ke SPRM.
“Saya WhatsApp Menteri Datuk Seri Shahidan dan Paul Low, saya ugut mereka tolong kembalikan pegawai yang ditukar ke SPRM secepat mungkin, kalau tidak saya akan guna kuasa saya porak-perandakan keadaan.
“Shahidan kata awak jangan buat apa-apa, biar saya selesaikan, saya janji akan hantar balik pegawai awak ke SPRM,” katanya yang pernah diugut dengan peluru hidup.
SKANDAL DI KEMENTERIAN PERTAHANAN AKAN DISIASAT SECARA TELITI
Skandal di Kementerian Pertahanan akan disiasat secara teliti
Menteri Pertahanan yang baru, Mohamad Sabu akan berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kedudukan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang disokong Arab Saudi untuk membanteras golongan radikal dan ekstremis.
“Kita akan bincang dengan perdana menteri dan Kementerian Pertahanan untuk kita ambil tindakan seterusnya pada masa akan datang.
“Saya tidak mahu laksanakan apa-apa yang baru tanpa perbincangan,” katanya dalam sidang media pertama di kementeriannya, hari ini.
KSCIP diilhamkan selepas kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud ke Malaysia pada Mac 2017 serta penyertaan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak dalam sidang kemuncak di Riyadh yang dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
KSCIP akan ditubuhkan bersama Kementerian Pertahanan kedua-dua negara dan MWL, atau lebih dikenali dengan nama Arabnya, Rabitah al-Alam al-Islami.
Najib pada Julai 2017 dilaporkan berkata, pusat itu bakal mempunyai sebuah bangunan kekal di tanah seluas 16 hektar di Putrajaya, bersamaan 20 padang bola sepak.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu pernah mempersoalkan komitmen Malaysia menjadi tuan rumah kepada KSCIP yang diilhamkan Arab Saudi, pada Julai 2017.
Beliau terkilan Malaysia bekerjasama dengan Arab Saudi untuk memerangi keganasan dan ekstremisme, sedangkan negara itu di bawah penelitian disebabkan ideologi pelampaunya.
Sementara itu, Mat Sabu berkata, siasatan akan dilakukan ke atas skandal dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Saya tidak mahu dengar cakap-cakap mulut, kita dengar itu dan ini tanpa kita menyelidik, kalau di atas cakap mulut kita bertindak, maka akan berlaku kerosakan imej di pihak jabatan.
“Kalau ada tindakan, ia akan melalui bukti dan penyelidikan yang rapi, ini termasuk isu kapal selam Scorpene. Kita juga ada audit dalaman.
“Kalau dalaman tidak berupaya, baru pergi ke peringkat luaran dan kalau ada serius, kita akan bawa ke Kabinet. Ertinya, tidak boleh bertindak semberono atas sesuatu yang kita dengar.”
Katanya, beliau akan lebih berhati-hati dengan setiap tindakan dan kenyataannya kerana perlu menjaga hati negara jiran dan bertutur menggunakan fakta.
“Saya selalu hidup bersama rakyat, tetapi sekarang ini perlu ikut peraturan dan protokol, ini adalah sesuatu yang baru. Saya perlu membiasakan diri dengan perubahan ini, tetapi saya tidak akan ubah gaya Mat Sabu.
“Saya Presiden Amanah, tetapi saya juga menteri pertahanan Malaysia. Dua perkara itu perlu lebih saya jaga dan berhati-hati kerana sebarang percakapan akan dikaji kawan dan lawan, sama ada dalam negara atau antara negara lain.”
Beliau yang tinggal di rumah teres di Shah Alam akan mempertimbang untuk berpindah ke kediaman rasmi kerajaan.
“Saya tengah fikir ke arah itu sebab saya datang ke sini juga agak jauh perjalanan. Saya akan tengok, pindah atau tidak saya akan putuskan dalam masa terdekat.” –
Subscribe to:
Posts (Atom)





