Jenama Indonesia buat silap besar, angkuh ‘beda level’ disambut seruan boikot

 


Oleh AZIZUL FARHAN

Di Malaysia, jenama penjagaan diri lelaki dari Indonesia di bawah syarikat Paragon Technology and Innovation (ParagonCorp), Kahf memang susah nak dipisahkan daripada Alif Satar.

Alif antara wajah yang banyak membantu jenama itu naik di negara ini. Iklan, kempen, media sosial, semua itu membantu Kahf bina imej sebagai produk lelaki Muslim yang kemas, santun dan moden.

Sampai ada netizen Malaysia yang baru tahu minggu ini bahawa Kahf sebenarnya jenama dari Indonesia. Maksudnya, pemasaran mereka memang menjadi.

Tiba-tiba datang satu posting selepas Indonesia menang FIFA ASEAN Cup, akaun rasmi Kahf Indonesia memuat naik gambar dengan tulisan: “Hati-Hati Beda Level.”

Bendera Indonesia diletakkan di bahagian atas. Malaysia, Thailand, Vietnam, Filipina, Singapura, Laos, Myanmar dan Timor Leste, selain Australia yang tidak menyertai FIFA ASEAN Cup pun diletakkan di bawah.

Kapsyennya: “Tutor cara masup Eropa dong warga.”

Tak payah pening sangat dengan bahasa media sosial Indonesia itu. Maksudnya lebih kurang:

“Ajar macam mana nak masuk Eropah pula.”

Jual produk

Baru menang kejohanan ASEAN, terus dibuat gambaran kononnya Indonesia sudah tidak sama level dengan negara jiran dan selepas ini boleh fikir pasal Eropah pula.

Nak bahan bola, bahanlah. Kalau akaun peminat bola yang post benda macam ini, orang Malaysia bahan balik, gaduh sehari dua, habis. Dan benda macam ni memang normal.

Namun, ini bukan fanpage bola. Ini akaun rasmi sebuah syarikat yang sedang berniaga dan jual produk kepada pengguna Malaysia.

Itu yang orang ramai tidak boleh terima. Lagi pelik apabila selama ini Kahf membawa imej santun, rendah hati dan rasa hormat.

Selepas kena hentam, Kahf Indonesia akhirnya memadam posting tersebut dan mengeluarkan permohonan maaf.

Mereka sendiri mengakui hantaran itu tidak mencerminkan nilai yang dibawa oleh jenama tersebut.

Kahf Malaysia kemudian terpaksa keluar kenyataan sendiri dan meminta maaf.

Tapi lain pulak jadinya di Tiktok Kahf. Semasa kenyataan maaf itu sedang beredar, tular pula tangkap layar dari TikTok Live Kahf yang menunjukkan komen-komen provokatif berkaitan Malaysia ketika siaran sedang berlangsung dengan admin berkenaan memerli Malaysia ketika itu.

Ada pengguna mendakwa komen tertentu turut dipinkan ketika siaran langsung itu.

Cukup untuk faham kenapa orang Malaysia makin panas. Baru beberapa jam bercakap pasal “respect”, nama Kahf sekali lagi muncul dalam perkara yang langsung tidak nampak macam “respect”.

Dan akhirnya Alif Satar pula kena tempias. Netizen mula meminta beliau menghentikan kerjasama dengan Kahf.

Padahal, dalam cerita ini, Alif bukan orang yang cari pasal. Beliau buat kerja beliau dekat Malaysia.

Kahf guna imej Alif, Kahf dapat nama, Kahf dapat pasaran. Sampai ada orang Malaysia yang ingat Kahf memang produk tempatan.

Kemudian akaun sendiri pergi buat perangai. Sebab itu seruan supaya terus memboikot Kahf dan produk berkaitan mula mendapat perhatian.

Dan akhirnya, itu memang hak pengguna. Minta maaf tak bermaksud pengguna wajib terus beli.

Kalau seseorang rasa jenama yang dia sokong sudah memandang rendah pasaran tempat dia berniaga, dia berhak tutup dompet dan pilih produk lain.

Isu ini sekarang pun sudah mula melebar.

Kahf berada dalam kumpulan yang turut mempunyai jenama seperti Wardah, Emina dan Make Over.

Dalam masa sama, nama jenama Indonesia lain yang banyak dijual atau beroperasi di Malaysia mula muncul dalam senarai boikot yang dikongsi netizen.

Jenama-jenama terbabit adalah Indomie, J.CO, Kenangan Coffee, Ai-CHA, MOMOYO, Richeese Factory, Kopiko, SilverQueen, Nabati, Paseo, Sari Ratu, Waroeng Penyet dan Cibiuk

Kalau duit kita tak dihargai, kita belanja dekat tempat lain dan lebih baik kita sokong barangan tempatan kita sendiri.

Orang kata, money cannot buy class. Menang boleh buat orang rasa tinggi, tapi respect tetap kena earned.

Sekali pengguna rasa dipandang rendah, bukan mudah nak beli semula kepercayaan itu.





No comments: