DNAA: Peguam Negara, Zahid Dibenar Rayu Keputusan Mahkamah Rayuan

 

IMG_7509

Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pendakwaan menghentikan 47 pertuduhan jenayah terhadap Ahmad Zahid berkait Yayasan Akal Budi.

PUTRAJAYA, 8 Okt – Mahkamah Persekutuan hari ini memberikan kebenaran kepada Peguam Negara dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pendakwaan menghentikan 47 pertuduhan jenayah terhadap Ahmad Zahid berkait Yayasan Akal Budi.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Hashim Hamzah sebulat suara membenarkan dua permohonan itu selepas mendapati kes itu membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan memerlukan penjelasan serta keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.

Hashim berkata, isu utama yang perlu diputuskan adalah berkaitan ambang kebenaran bagi semakan kehakiman apabila kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dicabar.

Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini diarah membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. Foto Bernama

Hashim berkata, ambang berkenaan perlu diterapkan dengan disiplin, berhati-hati dan penuh batasan apabila ia membabitkan kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berpandangan bahawa kes ini membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam yang memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah ini.

“Oleh itu, pemohon (Peguam Negara dan Ahmad Zahid Hamidi) sudah memenuhi ambang bagi permohonan kebenaran di bawah Seksyen 96A dan 96B Akta Mahkamah Kehakiman,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara menghentikan perbicaraan kes Yayasan Akal Budi membabitkan Ahmad Zahid.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan Ahmad Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) bagi kesemua pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara mahu memberhentikan prosiding terhadapnya.

Bagaimanapun, Badan Peguam kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara berkenaan.

Oleh Suraya Roslan




No comments: