SABAH SARAWAK TAK IKUT DAH SESIAPA KALI INI...ANWAR PERKUKUH MA 63

 

Ketika PN bergelut, Anwar kukuhkan hubungan dengan Sabah dan Sarawak

Ketika politik pembangkang masih dihantui persoalan hubungan PAS dan Bersatu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih jalan berbeza — mengukuhkan hubungan Putrajaya dengan Sabah dan Sarawak.

Pagi semalam, Anwar duduk semeja bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ketiga-tiganya menghadiri ALC-27.

Bukan sekadar sarapan biasa. Antara perkara utama dibincangkan ialah persediaan menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang bakal berlangsung di Kota Kinabalu.

Pertemuan itu membawa mesej politik yang jelas. Sabah dan Sarawak bukan sekadar pelengkap kepada Putrajaya, sebaliknya rakan penting dalam menentukan kestabilan serta hala tuju negara.

Anwar sendiri menegaskan hubungan Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak mahu terus diperkukuhkan berasaskan kepercayaan dan sikap saling menghormati.

Kontrasnya menarik. Ketika PN masih berdepan persoalan mengenai masa depan hubungan PAS-Bersatu, kerajaan pula mahu menunjukkan tiga blok penting — Putrajaya, Sabah dan Sarawak — boleh duduk semeja membincangkan agenda bersama.

Dalam politik Malaysia hari ini, kekuatan bukan sekadar siapa paling kuat berpidato atau menyerang lawan. Keupayaan membina kepercayaan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga menentukan siapa mampu menawarkan kestabilan.

PN boleh terus bergelut menentukan siapa kawan dan siapa lawan. Anwar pula nampaknya memilih mengukuhkan jambatan dengan Sabah dan Sarawak — dua wilayah yang semakin penting dalam menentukan masa depan politik Malaysia.



No comments: