‘Mu nok Isleyyy ko pembangunan?’, anak muda Kelantan persoal kemudahan bas

 


Isu kemudahan awam di Kelantan kembali menjadi bahan sindiran netizen apabila perbandingan keadaan Terminal Bas Kota Bharu dengan Terminal Penang Sentral mencetuskan ribuan reaksi di media sosial.

Satu hantaran di Threads yang memaparkan gambar perbandingan dua terminal berkenaan dengan kapsyen sinis berbunyi, “Negeri Pas vs DAP, mu nok isleyyyy ko pembangunan?”

Seorang anak muda menegaskan ramai anak Kelantan menyambung pengajian di luar negeri dan bergantung kepada pengangkutan awam untuk pulang, sekali gus menjadikan terminal yang selesa dan sistematik sesuatu yang sangat dekat dengan kehidupan generasi muda.

Malah, pengguna itu menyindir bahawa untuk ke negeri lain mereka boleh menikmati kemudahan pengangkutan yang lebih baik, tetapi apabila pulang ke Kelantan, pengalaman di terminal masih menjadi perkara yang mengecewakan.

“Ramai anak muda Kelantan menyambung pengajian di luar negeri dan menggunakan bas apabila pulang.

“Sebab itu kemudahan stesen bas yang baik sangat penting, terutama kepada pelajar yang datang dari jauh.

“Kemudahan seperti ini penting sekarang kerana orang sedang bercakap tentang kemudahan, khususnya kemudahan awam.

“Jangan kerana kita sendiri tidak menggunakan bas, kita menolak pembangunan kemudahan awam yang diperlukan orang lain,” tempelaknya dalam loghat Kelantan itu lagi.

Lebih mencuit hati, ada pula netizen membandingkan Terminal Bas Kota Bharu dengan Jengka Sentral di Pahang sambil mengingatkan bahawa Jengka mempunyai jumlah penduduk jauh lebih kecil berbanding Kota Bharu.

Perbandingan itu secara tidak langsung mencetuskan persoalan yang pedih kepada pentadbiran Pas Kelantan, bagaimana sebuah ibu negeri masih boleh menjadi bahan perbandingan dengan terminal di kawasan yang jauh lebih kecil.

Futuristik

Sindiran jadi lebih pedas apabila seorang pengguna memuat naik gambaran futuristik kononnya “Terminal Bas Kota Bharu” yang kelihatan seperti sebuah hab pengangkutan bertaraf antarabangsa sambil menulis, “Tu zaman bila, ni dah siap dah ni.”

Gambar itu jelas dijadikan bahan jenaka untuk menggambarkan betapa jauhnya imaginasi sebuah terminal moden berbanding apa yang diperkatakan pengguna mengenai realiti kemudahan awam di Kota Bharu hari ini.

Seorang lagi pengguna tidak melepaskan peluang menyindir dengan berkata Selangor mungkin akan menjadi “maju gila” sekiranya Pas memerintah sehingga KLIA boleh berubah menjadi lebih hebat daripada Lapangan Terbang Changi di Singapura.

Untuk rekod, Penang Sentral di Butterworth sudah berdiri sebagai hab pengangkutan moden dan tersusun denganmenyepadukan perkhidmatan bas, rel, dan feri.

Berbeza dengan Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh yang menjadi bahan sindiran satu Malaysia, itu adalah lokasi terminal sementara sejak lebih sedekad lalu.

Projek pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) di Tunjong dijangka siap sekitar tahun 2028.

Sebelum ini, projek terminal tersebut diumumkan bernilai kira-kira RM64 juta dan dijangka siap pada penghujung 2026.

Pada 13 Ogos lalu, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Izani Husin memberitahu bahawa kerja-kerja penambunan tanah akan siap pada Mei 2027.

Izani yang juga Adun Kijang merangkap Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Pengkalan Chepa itu berkata, kos tambah tanah berjumlah RM14 juta.






No comments: