
Pas diingatkan jangan sekadar menyambung titik British, PAP, DAP, PH, kemudian melukis sendiri garisan di antara semuanya lalu mengisytiharkan satu rangkaian sejarah itu sebagai bukti konspirasi.
PENDAPAT, 19 Ogos – Tulisan Presiden PAS ini panjang, sarat dengan ayat al-Quran dan sejarah penjajahan. Namun, mesej akhirnya cukup jelas DAP digambarkan sebagai alat penjajah, kaum Cina dibingkaikan sebagai ancaman, Melayu yang tidak sehaluan dengan PAS dilabel sebagai tersasar atau “luar tabii”, manakala PAS-UMNO pula diposisikan seolah-olah menjadi satu-satunya benteng penyelamat Melayu-Islam.
Masalahnya, mana bukti bahawa DAP sedang merancang menghapuskan Melayu dan Islam?
Kalau benar wujud konspirasi, kemukakan buktinya. Jangan sekadar menyambung titik British, PAP, DAP, PH, kemudian melukis sendiri garisan di antara semuanya lalu mengisytiharkan satu rangkaian sejarah itu sebagai bukti konspirasi. Sejarah perlu dibuktikan dengan fakta, bukan disusun menjadi konspirasi melalui andaian.
Lebih ironik, Surah al-Hujurat ayat 13 dipetik untuk mengingatkan bahawa Allah menciptakan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku “supaya kamu saling mengenal” (lita‘arafu), tetapi dalam masa yang sama digunakan untuk membina naratif “Melayu-Islam lawan DAP/Cina.”
Ayatnya mengajak kepada lita‘arafu saling mengenal. Politiknya pula berubah menjadi litakhaafu, saling menakutkan. Ayatnya bersifat universal, tetapi tafsiran politiknya pula menjadi begitu tribal.
Dakwaan bahawa “Melayu ialah tuan punya tanah air ini mengikut ketetapan Allah” juga tidak boleh dipersembahkan seolah-olah ia merupakan ketetapan al-Quran. Surah al-Baqarah ayat 29 tidak menyebut tentang Malaysia, bangsa Melayu atau hak eksklusif mana-mana etnik.
Jangan masukkan kesimpulan politik ke dalam ayat al-Quran yang tidak pernah menyatakannya. Menggunakan ayat yang bersifat umum untuk mengabsahkan tuntutan politik yang khusus bukan tafsiran yang wajar.
Mempertahankan kedudukan Melayu dan Islam dalam Perlembagaan adalah hak yang sah. Tetapi menakutkan Melayu dengan menjadikan kaum lain sebagai ancaman bukanlah cara mempertahankan Islam.
Kalau DAP salah, buktikan. Kalau DAP anti-Islam, tunjukkan dasar dan tindakannya. Kalau DAP mahu menghapuskan Melayu, kemukakan bukti yang nyata.
Kalau mahu mengkritik DAP, kritiklah dasar, kenyataan dan tindakan DAP yang benar-benar wujud. Jangan cipta DAP versi fantasi kononnya DAP mahu menghapuskan Melayu, Islam, Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu kemudian versi yang dicipta sendiri itu pula dihentam seolah-olah ia fakta. Itu bukan kritik politik. Itu strawman yang diberi wajah konspirasi.
Jangan sejarah penjajahan dijadikan lesen untuk menuduh sesiapa yang berbeza politik sebagai “petugas penjajah”.
Dan satu lagi soalan yang agak mengganggu kalau DAP memang sejak dahulu merupakan “projek penjajah”, kenapa PAS pernah duduk semeja dan bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif?
Adakah DAP belum menjadi “penjajah” ketika itu? Atau label penjajah itu hanya muncul apabila seseorang sudah bertukar daripada kawan politik menjadi musuh politik?
Melayu tidak perlu diajar setiap hari siapa yang perlu dibenci untuk menjadi kuat. Melayu akan kuat dengan ilmu, ekonomi, pendidikan, akhlak, daya saing dan pentadbiran yang amanah.
Islam tidak perlu mencipta musuh untuk kelihatan mulia. Melayu tidak perlu menakutkan kaum lain untuk kelihatan kuat.
Kalau politik hanya mampu menawarkan ketakutan terhadap DAP, Cina, liberal, sekular dan “penjajah” setiap kali mahu meraih sokongan, sementara Melayu yang tidak sehaluan dengan PAS pula dilabel sebagai “Melayu luar tabii”, maka itu bukan penyatuan ummah. Itu politik ketakutan yang dipakaikan jubah agama.
IBNU ALI




No comments:
Post a Comment