Kita jumpa di mahkamah, kata mangsa LOD Asyraf Wajdi
Pengguna TikTok, Ezzat Kamarudin yang berdepan tindakan notis tuntutan (LOD) daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan beliau tidak akan memadam hantaran yang dipertikaikan, sebaliknya bersedia berdepan isu berkenaan di mahkamah.
Dalam reaksinya, Ezzat berkata beliau mengalu-alukan penghantaran LOD daripada Pengerusi MARA berkenaan dan tidak mempunyai masalah untuk berurusan melalui saluran perundangan.
“Asyraf Wajdi, nak saman saya, dipersilakan.
“Saya mengalu-alukan penghantaran LOD dan berurusan dengan pihak saya dalam mahkamah. Saya tiada masalah. Saya tidak akan lari,” katanya menerusi satu video di TikTok.
Malah, Ezzat menegaskan hantaran berkenaan tidak akan diturunkan selagi dakwaan bahawa beliau melakukan fitnah belum dibuktikan.
“Posting tersebut tidak akan saya turunkan selagi awak berjaya membuktikan bahawa saya telah memfitnah,” katanya.
Beliau turut mencabar Asyraf Wajdi supaya meneruskan tindakan saman RM5 juta sekiranya yakin mempunyai asas untuk berbuat demikian.
“Asyraf Wajdi, setakat kau nak saman RM5 juta, setakat nak ugut orang, kau ingat apa? Salah oranglah.
“Aku tak menjawab perkara ini. Biar kita berjumpa dalam mahkamah,” katanya.
Menurut Ezzat, isu yang diperkatakan itu juga bukan hanya dibangkitkan olehnya, sebaliknya didakwa telah didedahkan oleh beberapa individu lain.
“Kalau betul kamu difitnah… sebab perkara ini telah didedahkan oleh ramai individu,” katanya.
Dalam masa sama, Ezzat turut menyentuh kedudukan Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA ketika menyatakan pemimpin Umno itu mempunyai kemampuan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang dikehendakinya.
“Kalau nak saman 10, 20 orang, awak tiada masalah soal kewangan kerana kamu memang ada kemampuan, kamu juga berjawatan — Pengerusi MARA.
“Nak saman itu, teruskan,” katanya.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi mengumumkan tindakan menghantar LOD kepada beberapa pemilik akaun media sosial berhubung kandungan yang didakwanya berunsur fitnah terhadap dirinya, dengan tuntutan saman sebanyak RM5 juta.
No comments:
Post a Comment