Oleh Dr Azrie Azeh
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar medan persaingan antara parti-parti politik untuk membentuk kerajaan negeri. Malah lebih daripada itu, pilihan raya ini turut menjadi pentas yang sangat penting untuk menilai arah perubahan budaya politik Malaysia, khususnya dari sudut proses pembaharuan kepimpinan melalui kemunculan calon-calon muda.
Hakikat bahawa hampir semua gabungan politik utama memberi ruang kepada generasi baharu untuk bertanding memperlihatkan satu perubahan yang signifikan dalam corak pengambilan elit politik negara. Fenomena ini bukan lagi bersifat simbolik, tetapi sebaliknya mencerminkan proses transformasi institusi politik yang sedang berlaku secara beransur-ansur.
Persoalan yang lebih penting dalam situasi ini, bukanlah berapa ramai calon muda yang diletakkan bertanding, tetapi sejauh manakah pencalonan tersebut benar-benar menggambarkan komitmen parti terhadap pembaharuan politik atau sekadar strategi pilihan raya bagi menarik sokongan pengundi muda.
Dalam disiplin sains politik, proses penggantian kepimpinan dikenali sebagai Elite Circulation Theory, iaitu kitaran kemasukan generasi baharu ke dalam struktur kuasa bagi memastikan kelangsungan dan kerelevanan sesebuah organisasi politik.
Ahli sosiologi politik seperti Vilfredo Pareto dan Gaetano Mosca telah memberi penghujahan yang sangat jelas bahawa sesebuah sistem politik yang gagal melakukan pembaharuan elit akan berhadapan risiko kehilangan legitimasi kerana gagal menyesuaikan diri dengan perubahan masyarakat.
Dalam konteks Malaysia, perubahan ini menjadi semakin ketara selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik yang memperluaskan penyertaan golongan muda dalam proses demokrasi. Pertambahan pengundi muda telah mengubah strategi parti politik daripada sekadar menawarkan manifesto kepada usaha membina representasi yang lebih hampir dengan demografi pengundi.
Oleh kerana itu, dengan kemunculan calon muda dalam PRN Johor boleh dianggap sebagai sebahagian daripada proses penyesuaian institusi politik terhadap perubahan struktur masyarakat.
Calon muda tidak lagi menjadi pelengkap senarai
Jika suatu ketika dahulu calon muda sering dilihat sebagai pelengkap bagi menunjukkan imej progresif sesebuah parti, keadaan hari ini memperlihatkan perubahan yang lebih ketara.
Sebahagian calon muda kini diberikan tanggungjawab bertanding di kerusi strategik, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan parti terhadap kemampuan mereka memikul amanah sebagai pembuat dasar.
Perubahan ini turut menunjukkan bahawa proses Political Recruitment dalam parti-parti politik semakin memberi perhatian kepada merit, profesionalisme, latar belakang pendidikan serta pengalaman organisasi, dan bukan semata-mata kepada senioriti politik.
Walau bagaimanapun, pencalonan generasi muda tidak seharusnya dilihat sebagai ukuran kejayaan secara automatik. Dalam demokrasi yang matang, usia hanyalah satu daripada pelbagai faktor yang menentukan keberkesanan seseorang wakil rakyat.
Dalam teori Political Representation yang dikemukakan oleh Hanna Pitkin, seseorang wakil rakyat bukan sekadar mewakili kumpulan umur tertentu, sebaliknya bertanggungjawab memperjuangkan kepentingan keseluruhan masyarakat.
Oleh itu, calon muda yang berjaya dipilih perlu membuktikan bahawa mereka memiliki keupayaan memahami isu pembangunan negeri, ekonomi, pelaburan, kebajikan rakyat, pengurusan kerajaan tempatan serta dasar awam yang kompleks. Mereka perlu memahami pentadbiran dan pengurusan negara sebaik mungkin kerana mereka ada pewaris kepada kepimpinan negara.
Realitinya, pengundi masa kini semakin rasional dalam membuat pilihan. Mereka tidak lagi menilai calon berdasarkan faktor usia semata-mata, sebaliknya melihat kepada kompetensi, integriti, kredibiliti dan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat.
Dalam konteks ini, generasi muda berhadapan cabaran yang lebih besar kerana mereka perlu membuktikan bahawa pembaharuan generasi turut disertai pembaharuan dari segi kualiti kepimpinan.
Dinamika Baharu
Kemunculan calon muda turut membawa perubahan terhadap pendekatan kempen pilihan raya.
Generasi baharu lazimnya lebih dekat dengan penggunaan teknologi digital, media sosial, komunikasi dua hala serta pendekatan politik yang lebih interaktif. Perubahan ini menjadikan kempen politik lebih pantas, terbuka dan berorientasikan penyertaan rakyat. Namun demikian, perkembangan tersebut turut membawa risiko baharu.
Persaingan politik yang semakin bergantung kepada media sosial boleh menyebabkan naratif politik menjadi terlalu bersifat persepsi sehingga isu-isu dasar tenggelam di sebalik perang kandungan digital. Justeru, calon muda perlu memastikan bahawa kelebihan mereka dalam komunikasi digital turut disertai kemampuan mengemukakan penyelesaian dasar yang bernilai kepada rakyat.
Dalam bidang Political Trust, kepercayaan rakyat terhadap pemimpin dibentuk melalui tiga elemen utama, iaitu konsistensi, kompetensi dan integriti. Konsistensi merujuk kepada keupayaan pemimpin mengekalkan prinsip serta memenuhi komitmen yang dijanjikan.
Kompetensi pula berkait rapat dengan kecekapan mentadbir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah rakyat. Integriti pula menjadi asas kepada tadbir urus yang telus, akauntabiliti dan bebas daripada penyalahgunaan kuasa.
Ketiga-tiga dimensi ini tidak bergantung kepada faktor umur. Seorang calon muda hanya akan memperoleh kepercayaan rakyat sekiranya mampu membuktikan prestasi yang meyakinkan, manakala calon yang lebih berpengalaman juga tidak boleh bergantung kepada rekod lampau semata-mata tanpa menunjukkan kemampuan menyesuaikan diri dengan tuntutan semasa.
PRN Johor boleh dianggap sebagai makmal politik yang penting dalam menilai keberkesanan proses pembaharuan kepimpinan di Malaysia.
Sekiranya calon-calon muda berjaya membuktikan keupayaan mereka sebagai penggubal dasar, pentadbir yang berkesan dan wakil rakyat yang dekat dengan masyarakat, perkembangan ini berpotensi mempercepat proses peremajaan institusi politik negara.
Sebaliknya, sekiranya pencalonan mereka hanya bersifat kosmetik atau sekadar memenuhi strategi pemasaran politik, kepercayaan rakyat terhadap naratif pembaharuan akan terhakis.
Dalam demokrasi moden, perubahan generasi bukanlah matlamat akhir. Yang lebih utama ialah kemampuan melahirkan kepimpinan yang mempunyai visi, integriti, kecekapan dan kebijaksanaan dalam mentadbir negeri.
Kemunculan calon-calon muda dalam PRN Johor wajar dilihat sebagai manifestasi evolusi sistem politik Malaysia yang semakin terbuka kepada proses peralihan generasi. Namun demikian, kejayaan pembaharuan tersebut tidak boleh diukur berdasarkan faktor usia semata-mata.
Dalam perspektif sains politik, legitimasi kepimpinan akhirnya bergantung kepada kemampuan seseorang wakil rakyat memenuhi amanah yang diberikan oleh rakyat melalui dasar yang berkesan, tadbir urus yang baik dan integriti yang tinggi.
Atas sebab itu, PRN Johor bukan sekadar menguji kekuatan parti-parti politik, malah menjadi ukuran terhadap sejauh mana demokrasi Malaysia berjaya melahirkan generasi pemimpin baharu yang bukan sahaja muda dari segi usia, tetapi juga matang dari segi pemikiran, berwibawa dalam kepimpinan dan mampu membawa negeri ke arah pembangunan yang lebih mampan.
No comments:
Post a Comment