Kepedulian kerajaan terhadap kebajikan golongan nelayan di Terengganu terus disuburkan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), termasuk pembangunan infrastruktur, bantuan peralatan serta sokongan kebajikan menyeluruh kepada komuniti nelayan di negeri itu.
Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil berkata, antara usaha terkini ialah siapnya sebuah jeti pendaratan baharu di Merang, Setiu yang dibina dengan kos RM469,400 bagi memperkukuh aktiviti pendaratan ikan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, jeti konkrit berukuran 28 meter kali 6.8 meter itu dijangka memberi manfaat langsung kepada 124 orang nelayan yang mengendalikan 98 buah sampan di Pengkalan Merang, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi perikanan setempat.
“Keberkesanan pengurusan aktiviti perikanan sama ada tangkapan dan pendaratan penting dalam memastikan agenda keterjaminan makanan tercapai.
“Merang antara kawasan nelayan yang berpotensi dengan kapasiti pendaratan ikan yang diisytiharkan di Setiu adalah 243.69 metrik tan setahun, ia menyumbang kepada keseluruhan jumlah yang direkodkan di Terengganu sebanyak 18,660 metrik tan setahun,” katanya
Dalam perkembangan berkaitan, Faiz turut menghadiri Program Rahmah Mesra MADANI di Pelabuhan Perikanan LKIM Chendering, Kuala Terengganu bagi menyampaikan Insentif Peralatan Penangkapan Ikan Nelayan (Touchpoint) B40 melibatkan peruntukan RM225,000 untuk nelayan negeri ini.
Bantuan tersebut merangkumi peralatan seperti dawai kawat (bubu), pukat serta echo sounder yang membantu nelayan mengenal pasti lokasi ikan dengan lebih berkesan.
Selain itu, beliau turut menyerahkan sebuah rumah bina baharu di bawah Program Khas Perumahan Nelayan kepada seorang penerima di Kuala Terengganu Selatan dengan kos pembinaan RM84,000 yang dilaksanakan secara gotong-royong oleh PNK kawasan berkenaan.
Bagi tahun 2026, LKIM meluluskan empat rumah bina baharu dan 29 rumah baik pulih dengan jumlah peruntukan RM915,444.60, sebahagian daripada peruntukan RM10 juta yang disediakan kerajaan MADANI bagi program perumahan nelayan.
Dalam lawatan berasingan, beliau turut menziarahi keluarga seorang balu nelayan yang terlibat dalam insiden lemas di laut, di mana bantuan kebajikan serta faedah perlindungan turut disalurkan melalui Skim Lindung Kendiri PERKESO.
Beliau turut menyeru nelayan di seluruh negara agar terus mencarum bagi memastikan perlindungan kebajikan keluarga sekiranya berlaku musibah, memandangkan sektor perikanan laut terbuka mempunyai risiko keselamatan yang tinggi.
Lawatan kerja beliau ke Kuala Terengganu turut disusuli dengan penyerahan sumbangan RM11,000 kepada seorang nelayan yang terjejas akibat kebakaran rumah di bawah Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.
Menurut beliau, segala pelaksanaan ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan MADANI melalui LKIM dalam memastikan kebajikan nelayan di semua negeri, termasuk Terengganu, terus terbela secara menyeluruh tanpa mengira latar politik negeri.
“Kepedulian LKIM dan kerajaan Madani kepada golongan nelayan terus disuburkan.
“Walaupun berbeza politik di peringkat pentadbiran, LKIM dan kerajaan Madani terus membela kebajikan nelayan dan ini menunjukkan politik matang yang dibawa PH yang tidak mendiskrimasi mana-mana negeri atau golongan,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment