
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya pada 11 Jun 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 11 Jun – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memutuskan Kerajaan mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) supaya memperhebat usaha penerangan berkaitan fenomena El Niño di seluruh negara bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan rakyat menghadapi cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat itu yang turut meneliti pembentangan METMalaysia mengenai fenomena El Niño serta implikasinya terhadap negara, menerusi perkongsian di media sosial hari ini.
“Mesyuarat bersetuju agar METMalaysia segera memperhebat usaha penerangan dan turun ke semua negeri bagi menyampaikan taklimat serta pencerahan yang menyeluruh selain kesiapsiagaan di peringkat akar umbi mesti diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mendepani kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu,” ujarnya.
Turut diteliti dalam mesyuarat itu, pembentangan daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation berhubung hala tuju syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) negara.
“Kerajaan berpandangan bahawa urusan perniagaan serta pengembangan industri wajar dipacu oleh kecekapan, ketangkasan dan kebijaksanaan para penggiat industri sendiri, dengan Kerajaan terus menyediakan dasar yang jelas, kondusif dan menyokong pertumbuhan ,”menurut hantaran itu.
Beliau menegaskan bahawa dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan pelbagai krisis antarabangsa, Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh agar kepentingan rakyat sentiasa terjaga, ekonomi negara kekal mampan, berdaya tahan serta teguh menghadapi sebarang cabaran mendatang.
No comments:
Post a Comment