
eksport minyak sawit Malaysia kekal menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila eksport kumulatif bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 meningkat 783,000 tan atau 13.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pengeluaran minyak sawit Malaysia susut 6.9 peratus kepada 1.51 juta tan pada Mei berbanding bulan sebelumnya, dipengaruhi fasa rehat pokok sawit selepas pengeluaran tinggi antara Oktober 2025 hingga Mac 2026.
Selain itu, jumlah hari penuaian turut berkurangan berikutan cuti umum yang lebih banyak pada Mei berbanding April, sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran bulanan.
Bagaimanapun, eksport minyak sawit Malaysia kekal menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila eksport kumulatif bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 meningkat 783,000 tan atau 13.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata peningkatan terbesar dicatatkan di pasaran India, Kenya dan Vietnam dengan jumlah eksport ke tiga negara itu meningkat sebanyak 749,000 tan secara kolektif.
Menurut MPOC, rantau Sub-Sahara Afrika dan ASEAN semakin muncul sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi minyak sawit Malaysia.
“Bagi lima bulan pertama 2026, kedua-dua rantau ini menyumbang 36 peratus daripada keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia berbanding hanya 25 peratus lima tahun lalu.
“Perkembangan ini menunjukkan kepelbagaian pasaran eksport Malaysia yang semakin kukuh,” katanya dalam kenyataan.
MPOC berkata penurunan eksport pada Mei adalah dijangka berikutan aktiviti pembelian yang lebih perlahan pada Mac dan April susulan turun naik harga yang ketara, sekali gus memberi kesan kepada penghantaran pada Mei dan Jun.
Pada masa sama, pasaran minyak sayuran global mencatatkan kenaikan harga ketara bagi minyak soya Amerika Syarikat (AS) dan minyak rapeseed masing-masing melonjak 59 peratus dan 16 peratus setakat tahun ini.
Kenaikan itu didorong mandat biofuel AS serta sekatan di bawah kredit cukai biofuel 45Z yang memihak kepada bahan mentah dari Amerika Utara.
Sebaliknya, harga minyak soya Amerika Selatan, minyak bunga matahari dan minyak sawit Malaysia hanya meningkat sederhana antara lapan hingga 10 peratus.
Katanya, premium harga minyak soya AS yang tinggi sejak Mac telah menjejaskan daya saing eksport komoditi itu.
“Eksport minyak soya AS merosot kepada hanya 11,000 tan pada Mei 2026, paras terendah dalam tempoh 19 bulan.
“Jika premium harga kekal tinggi, pengimport global dijangka terus bergantung kepada bekalan dari Amerika Selatan,” katanya.
MPOC berkata pada pertengahan Jun, minyak soya AS diniagakan pada premium AS$580 satu tan berbanding minyak soya Argentina.
Dalam masa sama, bekalan eksport minyak sawit Indonesia dijangka semakin ketat mulai suku ketiga hingga suku keempat tahun ini berikutan pelaksanaan dasar biodiesel B50 bermula Julai, pengeluaran yang mendatar serta permintaan awal yang lebih tinggi.
Berdasarkan unjuran Oil World, pengeluaran minyak sawit Indonesia dijangka kekal sekitar 49.4 juta tan pada 2026, manakala eksport dan penggunaan domestiknya meningkat 2.2 juta tan atau 15 peratus dalam empat bulan pertama tahun ini.
Keadaan itu berpotensi mendorong pengimport global meningkatkan pembelian daripada Malaysia bagi mendapatkan bekalan yang lebih stabil.
“Kos baja yang meningkat susulan konflik AS-Iran berkemungkinan menyebabkan pekebun kecil di Malaysia dan Indonesia mengurangkan penggunaan baja, namun kesannya terhadap hasil pengeluaran hanya dapat dilihat dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan akan datang,” katanya.
Mengulas prospek harga, MPOC menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan bergerak dalam julat RM4,400 hingga RM4,650 satu tan pada Julai, disokong jangkaan bekalan Indonesia yang semakin ketat serta peningkatan risiko fenomena El Nino.
Menurutnya, walaupun ladang sawit di Malaysia dan Indonesia masih belum terjejas setakat Jun, kebarangkalian berlakunya El Nino lebih kuat mulai Julai atau Ogos semakin meningkat.
“Fenomena El Nino yang kuat boleh mengurangkan taburan hujan dan menyebabkan keadaan lebih kering di Asia Tenggara, Australia serta India.
“Bagaimanapun, kesan terhadap hasil dan pengeluaran sawit lazimnya hanya dapat dilihat selepas tempoh kelewatan antara sembilan hingga 12 bulan,” katanya.
Pada masa sama, MPOC menjangkakan kenaikan harga MSM mungkin dihadkan oleh paras inventori minyak sayuran yang tinggi di pasaran utama serta ekonomi biodiesel yang semakin kurang menyokong selepas harga gasoil jatuh di bawah harga minyak sawit dalam pasaran hadapan.
No comments:
Post a Comment