Drama belakang tabir BN Johor tanda awal tragedi PRU15 boleh berulang


 


BN berisiko mengulangi kegagalan besar seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika masalah dalaman tidak diselesaikan segera, kata pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Menurutnya, situasi semasa yang sedang berlaku di Johor menunjukkan beberapa persamaan dengan keadaan yang pernah menimpa BN ketika kempen PRU15 pada November 2022.

Ketika itu, ujarnya, BN gagal menguruskan pelbagai isu dalaman atau housekeeping matters sehingga menjejaskan keseluruhan operasi kempen parti.

“Akibat housekeeping matters yang tak selesai, kempen BN/Umno gagal dioperasikan secara optimum, sistem penyampaian terganggu teruk.

“Sedangkan sebelum itu BN/Umno baru sahaja menang selesa dan bergaya dalam PRN Melaka dan Johor, momentum sedang mencanak naik.

“Akibatnya, PRU15 mencatat sejarah terburuk pencapaian BN dengan hanya menang 30 kerusi, 26 daripadanya dimenangi Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Penganalisis berkenaan berkata, tanda-tanda hampir sama kini dilihat mula terbentuk di Johor apabila terdapat pelbagai riak di bawah permukaan termasuk drama belakang tabir yang menunjukkan persiapan awal BN kurang mantap.

Dr Yusri berpendapat meskipun secara asasnya BN khususnya Umno masih mempunyai sedikit kelebihan berbanding parti lain di Johor, kelebihan itu tidak akan membawa makna sekiranya kelemahan dalaman terus dibiarkan.

“Politik sekarang sangat dinamik. Sebarang kerosakan imej, defisit penyampaian dan kelemahan operasi kempen oleh mana2 parti politik, akan cepat dihukum oleh pengundi,” kata beliau lagi.





No comments: