PUAN TERESA KOK SUH SIM [SEPUTEH] minta PERDANA MENTERI menyatakan hasil siasatan dan tindakan yang diambil oleh SPRM berkenaan dakwaan 'mafia korporat' yang melibatkan pegawai SPRM dan ahli perniagaan. Apakah langkah-langkah pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh Ketua Pengarah baharu SPRM.
JAWAPAN
YB DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dakwaan berkenaan mafia korporat merupakan suatu perkara yang berada di dalam siasatan Polis Di-Raja Malaysia.
2. Di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Dato' Sri Abd Halim bin Aman, SPRM memberi tumpuan khusus untuk meningkatkan semula imej serta kepercayaan rakyat melalui pelaksanaan lima prinsip utama, iaitu Integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan yang adil, pencegahan lebih baik daripada hukuman, teknologi dan ketelusan serta membina kepercayaan rakyat. Sejajar dengan prinsip tersebut, beliau menegaskan bahawa SPRM akan terus bertindak secara tegas, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh politik atau kepentingan tertentu, dengan berpaksikan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dan prinsip "nobody is above the law".
3. Bagi mengukuhkan integriti dalaman dan ketelusan, Ketua Pesuruhjaya telah mengarahkan semua pegawai SPRM untuk mengemas kini perisytiharan harta dalam tempoh satu bulan, dengan beliau sendiri memulakan proses tersebut sebagai teladan. SPRM juga memperkukuh pematuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP), sistem semak dan imbang, pengurusan kewangan berintegriti serta budaya kerja berasaskan kompetensi dan merit, di samping menolak sama sekali sebarang bentuk salah laku dalam kalangan warga SPRM yang boleh mencemarkan imej institusi.
4. Langkah ini selaras dengan pekeliling terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memperincikan garis panduan pemilikan aset, termasuk saham, sekuriti dan aset digital dalam kalangan penjawat awam. SPRM juga memperkukuh pematuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP), sistem semak dan imbang, pengurusan kewangan berintegriti serta budaya kerja berasaskan kompetensi dan merit, di samping menolak sama sekali sebarang bentuk salah laku dalam kalangan warga SPRM yang boleh mencemarkan imej institusi.
5. Selaras dengan cabaran jenayah rasuah dan kewangan yang semakin kompleks, SPRM mengukuhkan penggunaan teknologi terkini, analitik data, pemantauan transaksi serta risikan strategik, di samping memperluas kerjasama dengan agensi dalam dan luar negara.
6. Di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau akan memastikan SPRM bertindak dengan ketegasan yang lebih mutlak, keadilan yang saksama dan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun pengaruh.
7. Pada masa yang sama, SPRM memberi penekanan kepada usaha pencegahan dan pendidikan anti rasuah serta memperkukuh perlindungan kepada pemberi maklumat, diiringi komitmen kepimpinan baharu untuk mengamalkan budaya organisasi yang berdisiplin, rendah diri dan terbuka kepada teguran.
8. Langkah-langkah menyeluruh ini bertujuan memastikan SPRM benar-benar dilihat rakyat sebagai sebuah institusi yang bebas, telus, profesional dan berwibawa, sekali gus mengembalikan keyakinan terhadap usaha memerangi rasuah di negara ini.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment