
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi MARA di Putrajaya pada 14 Mei 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 14 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus diperkukuh sebagai institusi teras pemerkasaan Bumiputera melalui agenda pembangunan secara lebih adil, inklusif dan menyeluruh.
Ketika mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi agensi berkenaan yang dikongsikan di media sosial, Perdana Menteri berkata, usaha itu boleh dilaksanakan melalui akses pendidikan berkualiti, latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kemahiran.

Ini termasuk bidang pembiayaan pendidikan, pembangunan usahawan serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana.
Ia bagi memastikan agenda pemerkasaan bumiputera terus dipacu dengan tadbir urus yang baik, berintegriti dan berkesan.

“Menerusi dasar yang diperjuangkan MARA, lebih ramai pekerja mahir dan separa mahir selain profesional dan usahawan tempatan yang berdaya saing dapat dilahirkan lantas menyumbang kepada tenaga kerja di negara ini.
“Natijahnya, ini sekali gus meningkatkan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara selari dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan,” ujar Anwar.

Perdana Menteri turut menegaskan, menerusi pelbagai inisiatif transformasi dan program penskalaan usahawan, MARA juga telah memberi manfaat kepada jutaan pelajar serta usahawan bumiputera dalam memperkukuh mobiliti sosial dan penguasaan ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment