Calon MB Kedah: Zuraidi Tampil Beri Penjelasan

 

Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim tampil menjelaskan penyebaran video tidak benar baru-baru ini.

ALOR SETAR, 17 Mac – Datuk Zuraidi Rahim tampil memberi penjelasan berhubung video tular berhubung persoalan dirinya menjadi calon menteri besar Kedah daripada KEADILAN sambil mengatakan ia hanya bersifat peribadi.

Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah itu berkata demikian selepas namanya menjadi perbualan di media sosial susulan video yang memetiknya menyatakan kesediaan menggalas amanah sebagai calon menteri besar Kedah untuk bersaing dengan Muhammad Sanusi Md Nor daripada Pas.

“Semua itu (calon MB) hanya pandangan peribadi sahaja dan tak ada kena mengena pun dalam soal keputusan parti,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim tampil menjelaskan penyebaran video tidak benar baru-baru ini.

“Fokus saya ialah meneruskan kerja untuk membangun parti dan mencari kekuatan untuk kemenangan PRU16 serta membantu memperkukuhkan parti dan menyantuni masyarakat.

“Segala perkara berkaitan kepimpinan dan calon adalah tertakluk kepada proses serta keputusan rasmi parti dan sewajarnya dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Terdahulu, tular video memetiknya menjawab persoalan berhubung calon menteri besar daripada KEADILAN yang dikaitkan dengannya dan menyatakan kesediaan menggalas amanah itu.

Hantaran penafian daripada Pengerusi Persatuan Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim di Facebook pada 16 Mac 2026.

Dalam pada itu, Zuraidi turut menafikan mengeluarkan poster yang memaparkan konon beliau sebagai calon menteri besar Kedah bagi PRU16 dengan sokongan penuh KEADILAN Kedah.

Beliau menggesa penyebaran poster itu segera dihentikan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan penyokong parti.

“Hentikan fitnah dan spekulasi yang tidak bertanggungjawab,” katanya.




No comments: