PN AKAN KIOK JUGA AKHIRNYA

 


PN LEBIH MEMERLUKAN KUMPULAN HAMZAH BERBANDING MIC


21 Mac 2026


Sama ada MIC akan menyertai PN atau tidak, setakat ini semuanya masih misteri dan tidak pasti.


Setelah Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hasan pada 17 Mac lalu mengumumkan MIC akan menyertai gabungan itu dan surat rasmi bakal diserahkan sendiri kepada Presiden MIC pada malam tersebut (17 Mac) tetapi sesudah ia dinafikan oleh Timbalan Presiden MIC beberapa jam kemudian, isu itu terus senyap begitu saja sehingga sekarang.


Tiada lagi sebarang khabar berita atau kepastian mengenai kedudukan MIC selepas penafian  Timbalan Presiden MIC, M Saravanan itu.


Juga tidak diketahui sama ada ada pertemuan PN dengan Presiden MIC pada malam 17 Mac lalu diteruskan atau dibatalkan.


Pun begitu, berdasarkan perkembangan semasa di mana BN diwar-warkan akan bertanding 115 kerusi pada PRU akan datang, disertai dengan Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin sudah menulis surat untuk kembali semula bersama UMNO, adalah dipercayai MIC juga tidak jadi meninggalkan BN.


Masalah MIC ialah mereka rasa diketepikan sejak BN bekerjasama dengan PH dan percaya tiada peluang untuk parti itu dapat bertanding banyak kerusi pada PRU16 nanti lantaran monopoli DAP di kerusi-kerusi yang ada ramai pengundi bukan Melayu.


Oleh kerana di dalam PN hanya ada Gerakan dan MIPP yang tiada kerusi dimenangi pada PRU lalu, maka MIC melihat ada potensi untuk mereka beroleh banyak kerusi jika menyertai gabungan tersebut.


Bagaimanapun dengan perkembangan terbaru di mana BN berhasrat untuk bertanding 115 kerusi, ini mungkin menjadi faktor yang menyebabkan MIC merasakan mereka masih ada harapan bersama BN.


Apa pun keputusan akhir MIC nanti, biarlah parti itu menentukan sendiri hala tuju mereka.


Jika mereka ingin bersama PN, terimalah seadanya.


Jika tidak dan MIC ingin kekal bersama BN, itu pun tidak mengapa dan PN tidak perlu gundah gulana kerananya.


Sama seperti video Sandakan yang kabur, sejauh mana MIC mampu memberi nilai tambah atau ada kemampuan menambah sokongan kaum India kepada PN, ia juga sebenarnya masih kabur.


PN tidak perlu terlalu risau dengan tidak jadinya MIC menyertai gabungan itu kerana selain sudah ada MIPP bersama PN, lain-lain parti kaum India seperti Urinai dan MAP juga diketahui memang cenderung bersama PN.


Apa yang PN sepatutnya lebih risau  ialah jika Kumpulan Hamzah Zainuddin yang ada 19 Ahli Parlimen bersamanya, tidak lagi bersama PN pada PRU akan datang.


Sehingga ini Kumpulan Hamzah masih dalam proses menubuhkan parti baharu dan mereka memang berhasrat menyertai PN.


Cuma Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan akan menentang kemasukan parti Hamzah ke dalam PN.


Sebenarnya isu ini yang lebih perlu ditangani oleh PN yang kini dipimpin oleh PAS.


Sama ada Kumpulan Hamzah ada parti baharu atau tidak, potensi mereka memberi nilai tambah kepada PN adalah lebih besar berbanding MIC.


Bahkan berdasarkan kecenderungan lebih ramai Ahli Parlimen dan Ketua-Ketua Bahagian Bersatu menyokong Hamzah berbanding Muhyiddin Yassin, malah semua mereka itu dipercayai akan menyertai parti baharu yang akan diterajui Ahli Parlimen Larut itu, Kumpulan Hamzah juga nampaknya lebih kuat daya tarikannya daripada Bersatu sendiri.


Untuk memungkinkan PN lebih mampu memenangi PRU16 akan datang, nilai tambah yang ada pada Kumpulan Hamzah memang tidak boleh dinafikan.


Selain Ketua Pembangkang itu juga memiliki beberapa kelebihan yang mungkin tidak dimiliki oleh pemimpin-pemimpin PAS, hakikatnya jika tiada Kumpulan Hamzah dalam PN, boleh dikata kabur jugalah cahaya kemenangannya pada PRU akan datang. - ShahbudinHusin 21Mac2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1241959201260530&id=100063393840098





No comments: