
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi Muhammad Shebaz sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Pakistan ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada 6 Oktober 2025. Foto Faiz Alif Zubir
PUTRAJAYA, 6 Okt – Sempena lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia bermula semalam, Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini pagi tadi.
Ketibaan beliau disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jam 10 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Turut hadir mengiringi Perdana Menteri ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pemimpin Pakistan itu kemudian diberikan penghormatan memeriksa pasukan kawalan kehormatan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai Mejar Muhammad Akmal Hakim Sabarudin.
Lawatan rasmi Muhammad Shehbaz ini bersempena kunjungan balas Anwar yang terdahulu turut melakukan lawatan rasmi ke Pakistan pada Oktober tahun lalu.
Kedua-dua pemimpin bakal mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai soal kerjasama selain diperkenalkan dengan delegasi kedua-dua negara merangkumi pertahanan, pendidikan, pelaburan dan perdagangan.

Antara yang bakal disentuh, aspek kerjasama baru dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan, serta perihal pertahanan.
Selain itu, pertemuan tersebut juga akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang seterusnya bagi kepentingan Malaysia-Pakistan.
Sesi pada hari ini antara lain akan menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) antaranya melibatkan pencegahan rasuah, perusahaan kecil dan sederhana, serta Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang latihan untuk diplomat.
No comments:
Post a Comment