
Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin mengingatkan Wan Ahmad Fayhsal agar tidak menjadi ‘lebih Hamas daripada Hamas’ pada 6 Oktober 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin menasihatkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) tidak menjadi ‘lebih Hamas daripada Hamas’ dalam menilai isu kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang kemuncak ASEAN ke-47 di sini bulan depan.
Menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal sama ada keputusan Malaysia menjemput Trump ke sidang kemuncak itu bermakna negara berkompromi dengan prinsipnya, Mohamad berkata, AS adalah antara pelabur terbesar di Malaysia dan juga rantau ASEAN.
Beliau menjelaskan Malaysia mempunyai tanggungjawab rasmi untuk menjemput semua rakan dialog ASEAN ke sidang kemuncak itu, selain mengulangi bahawa tindakan menjemput Trump itu dibuat atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN dan bukannya sebagai negara individu atau atas dasar dua hala.

“Walaupun kita tetap prihatin terhadap keadaan di Palestin, kita juga mesti menilai manfaat yang lebih luas, termasuk hubungan perdagangan dan pelaburan, yang dari sudut ekonomi mempunyai kepentingan besar.
“Hamas sendiri telah menyambut baik pelan 20 perkara Trump (untuk Gaza), jadi mengapa pula kita tidak boleh menyokong atau membantu memperkukuh kedudukan ini.
“Janganlah kita ‘lebih Hamas daripada Hamas’, sebaliknya kita perlu menumpukan usaha untuk memberi sumbangan secara konstruktif dan menyokong inisiatif ke arah keamanan di Palestin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan dengan pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap isu Palestin, Malaysia kekal optimis bahawa Trump bersama negara-negara sehaluan seperti Qatar dan Mesir akan terus mencari jalan ke arah keamanan di Palestin.
Beliau juga menegaskan kehadiran Trump akan membuka ruang kepada Malaysia untuk menyuarakan kebimbangan dan pandangan, serta menekankan kepentingan kerjasama antara Malaysia, ASEAN dan Amerika Syarikat dalam usaha mencapai penubuhan negara Palestin yang merdeka dan pembangunan semula Gaza.
“Oleh itu, seperti yang saya katakan kepada Machang (Wan Fayhsal), janganlah kita lebih Hamas daripada Hamas,” katanya.
No comments:
Post a Comment