Boleh pula ‘Saifuddin Nasution’ tawarkan bantuan kewangan
Harapandaily
July 13, 2025
Polis mengesahkan pihaknya menerima satu laporan berhubung akaun TikTok disyaki palsu dengan nama Saifuddin_Nasution1 yang dikesan menawarkan bantuan kewangan dengan tujuan tertentu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, akaun TikTok disyaki memanipulasi nama Menteri Dalam Negeri itu dipercayai direka dengan teknik teknologi kecerdasan buatan (AI).
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati serta tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran bantuan kewangan melalui media sosial.
“Sentiasa semak kesahihan maklumat sebelum bertindak,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Tegasnya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran undang-undang ini.
Semalam, beberapa akaun palsu atas nama dan gambar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dikesan digunakan di TikTok dipercayai bagi menipu orang ramai.
Pejabat Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata, akaun palsu itu kononnya mendakwa pemimpin PKR berkenaan ingin menyalurkan bantuan kewangan melalui pautan WhatsApp diletakkan di ruangan biografi laman terbabit.
No comments:
Post a Comment