HarapandailyMay 14, 2025
Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan
kononnya beliau berselisih faham dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan
Abdul Karim.
Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyifatkan Hassan sebagai
seorang ‘rebel’ dengan sebab.
“Beliaulah yang kritik khidmat saya semasa di PMO (Jabatan Perdana
Menteri), sebelum saya berundur dan menyerah tugasan kepada En Nurhisham
Hussein, ketika itu Pengarah Ekonomi & CSO KWSP.
“Dan beliau jugalah yang menyeru saya masuk gelanggang bertanding untuk
jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Marah atau tidak, tidak pernah pudar rasa hormat saya kepada Pak
Hassan,” tulis Izzah menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Untuk rekod, Hassan menyertai PKR selepas 2008 dengan kali pertama
bertanding pada Pilihan Raya Umum 2008 di Parlimen Johor Bahru atas tiket Parti
Rakyat Malaysia (PRM) tetapi tewas.
Mengulas lanjut, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang
Pauh berkata, PKR memperoleh bantuan kewangan daripada orang ramai ketika
kempen pilihan raya umum.
“Kita raih dana daripada orang ramai, untuk kita penuhi keperluan
khidmat, termasuklah wang deposit, ketika PKR susah satu ketika dahulu.
“Kopi ini sememangnya keras, namun kerasnya kita tempuhi bersama.
“Selamat menunaikan ibadah haji, Pak Hassan dan isteri. Sama-sama kita
saling mendoakan,” kata Izzah lagi.
No comments:
Post a Comment