JKOM – ELOKLAH DITUTUP ATAU SERAH SAJA KEPADA UMNO!!

 

JKOM – ELOKLAH DITUTUP ATAU SERAH SAJA KEPADA UMNO!!

7 October 2024

Jkom Oh Jkom…sudah hampir dua tahun berlalu, masa terbazir dan wang pembayar cukai habis begitu saja tetapi hasil kerjanya tak pernah kelihatan sampai sekarang.

Sudah banyak PRK dan dalam pelbagai isu yang timbul, termasuk sebahagian besarnya melibatkan hentaman kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kewujudan JKom langsung tidak dirasai.

Kalau apa pun “hasil kerja” terkait Jkom yang jadi sebutan hanyalah tentang “video Wahab” yang hasil siasatannya masih disembunyikan hingga sekarang.

Dalam tempoh hampir dua tahun ini, Jkom dikira agensi paling malang kerana terpaksa melantik dua Ketua Pengarah dan kedua-duanya pula ditamatkan perkhidmatan di tengah jalan.

Salah yang dilantik atau salah pihak yang melantik?

Dalam perkembangan terbaru sebagaimana dilaporkan media semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, fungsi Jkom akan diteliti semula terutama dari sudut organisasi dan perjawatan.

“Dalam masa yang sama kita berhasrat memindahkan secara fizikal pejabat Jkom ke Kementerian Komunikasi (sekarang ini pejabat Jkom terletak di Kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya).

“Selain itu, fungsi Jkom juga akan diteliti semula,” katanya.

Fahmi juga berkata, pihaknya masih belum menentukan bila perlantikan Ketua Pengarah Jkom yang baharu, selepas perkhidmatan Mohd Khairuddin Othman ditamatkan, akan dilakukan semula.

“Kita belum lagi ke arah itu,” tambahnya.

Adoiiii…apa ni Fahmi, sudahlah belum ada ketentuan bila Ketua Pengarah baharu akan dilantik, sekarang fungsi Jkom pula mahu dikaji semula.

Kenapa setelah hampir dua tahun terbentuk kerajaan madani dan sudah dua Ketua Pengarah dilantik, baru sekarang mahu dikaji semula fungsi Jkom?

Kenapa tidak dibuat kajian di peringkat awal lagi atau sebelum Ketua Pengarah pertama, Dr Agus Yusof dilantik dahulu?

Nak buat kajian tu berapa lama pula?

Enam bulan? Setahun? Dua tahun?

Lepas tu nak pindahkan lagi pejabat Jkom ke Kementerian Komunikasi yang sudah tentu akan mengambil masa berbulan-bulan juga lamanya.

Bermakna, ada tiga perkara masih membelenggu Jkom sekarang – ketiadaan Ketua Pengarah, kajian semula fungsinya dan cadangan pindah pejabat.

Akhirnya, mungkin setahun lagi Jkom akan kekal terkangkang tidak berfungsi sebagaimana sekarang.

Apa pun, gagalnya Jkom berfungsi selama ini bukan saja memperlihatkan kegagalan Fahmi selaku menteri yang bertanggungjawab, malah juga menyerlahkan kegagalan kerajaan madani pimpinan Anwar.

Dipendekkan cerita, jika beginilah gayanya, lebih baiklah tutup saja Jkom ini.

Daripada kewujudannya menyakitkan hati penyokong-penyokong PH yang selalu mengecam atas kegagalan agensi itu berfungsi, baiklah ia dihantar ke tempat persemadian untuk dikebumikan.

Atau pun jika Jkom masih mahu dikekalkan juga, lebih wajar rasanya ia diserah kepada UMNO untuk mengendalikannya.

Menteri-menteri UMNO barangkali lebih pandai berbanding Fahmi untuk menjadikan Jkom benar-benar berkesan mempertahankan kerajaan. – ShahbudinHusin 07Oktober2024.