Sertai BRICS: Langkah tepat PMX ransang ekonomi
Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia sedang dalam proses untuk menyertai pakatan ekonomi antara negara terbesar di dunia dari segi penduduk dan pasaran dialu alukan Angkatan Muda Keadilan Johor.
Naib Ketua AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata langkah itu dijangka akan memudahkan negara pada jangka panjang menarik lebih banyak pelaburan asing dan meluaskan pasaran eksport Malaysia.
“Penyertaan ini sebagai satu langkah strategik yang dijangka akan membawa pelbagai manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara, khususnya negeri Johor kerana BRICS mewakili lebih daripada 40% populasi global dan menyumbang hampir 30% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.
“Penyertaan Malaysia ke dalam BRICS akan merangsang lagi peningkatan pelaburan asing ke negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Faezuddin, data terkini menunjukkan Johor telah menerima pelaburan asing berjumlah RM31 bilion pada tahun 2023.
Oleh itu, katanya, dengan penyertaan ke dalam BRICS akan dapat meningkatkan lagi pelaburan asing dari negara-negara anggota BRICS dan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Pemain industri tempatan di Johor turut boleh mengembangkan eksport perniagaan mereka dengan mengambil manfaat daripada pasaran besar yang ada pada negara anggota, terutamanya negara China yang mempunyai 1.41 bilion penduduk dan India 1.42 bilion penduduk
“Juga dengan sokongan dana pembiayaan pembangunan dari New Development Bank (NDB) lebih banyak projek infrastruktur termasuk projek dalam sektor tenaga, pengangkutan dan air boleh dilaksanakan bagi mempercepatkan pembangunan negeri,” ujarnya.
Penyertaan dalam BRICS, kata Faezuddin, akan membantu Johor dalam usaha untuk diversifikasikan ekonominya. Sektor-sektor seperti teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, dan bioteknologi akan dibangunkan dengan lebih agresif.
“Dengan kerjasama dalam sektor-sektor ini, Johor akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah negeri yang berdaya saing dan mampan.
“AMK Johor yakin Malaysia dan Johor akan dapat memperkukuhkan ekonomi serta berdaya tahan dalam menghadapi sebarang krisis ekonomi global sekaligus dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat apabila menjadi sebahagian daripada blok ekonomi yang besar dan berpengaruh seperti BRICS dan ianya satu langkah strategik oleh Perdana Menteri,” katanya lagi.
Untuk rekod, BRICS diasaskan oleh pakatan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Pada awal tahun ini pakatan itu menerima kemasukan anggota baharu seperti Arab Saudi, Mesir, Iran, Ethiopia dan UAE.