Turun harga: ‘Zaman PN perintah telur tak ada’
Sindiran bekas Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin yang cuba memperkecilkan penurunan harga runcit telur ayam gred A, B dan C sebanyak 3 sen sebiji dilihat sangat tidak wajar.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha berkata, penurunan harga telur itu biarpun kecil di mata Muhyiddin namun hakikatnya memberi manfaat besar kepada pengguna dan peniaga.
Menurut Azha, penurunan harga itu sedikit sebanyak melegakan rakyat dalam usaha kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup, terutama golongan B40 dan peniaga kecil.
“Kalau dilihat dari harga semasa, telur gred A sebiji 45 sen, turun 42 sen sahaja sudah merupakan 6.67% penurunan.
“Begitu juga gred B, sebiji 43 sen turun 40 sen (6.98%) dan gred C, 41 sen turun kepada 30 sen (7.32%), itu bagi saya okay dengan pengurangan ini. Muhyiddin nak besar mana lagi penurunan?” katanya kepada Suara Keadilan.
Malah jelas Azha, Ahli Parlimen Pagoh itu sepatutnya ‘menyemak’ terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa dakwaan mengenai prestasi kerajaan.
Jelasnya, berbanding pentadbiran Perikatan Nasional (PN), harga barang kini dilihat lebih terkawal.
“Perlu diingat sewaktu zaman PN dahulu telur pun tiada di pasaran, kalau ada sekalipun harganya jauh lebih mahal.
“Minyak masak 5kg sebelum ini RM35, sekarang sudah turun RM25, penurunan harga ini berlaku hanya selepas Kerajaan Madani memerintah bukan zaman Muhyiddin,” ujarnya lagi.
Semalam, Muhyiddin menyindir Anwar kerana menjangkakan pengumuman penting bakal dilakukan beliau pada Hari Raya Aidiladha tetapi hanya penurunan harga telur 3 sen sebiji.
Bagaimanapun, komen sinis Muhyiddin di media sosial itu dibalas netizen bahawa pada pemerintahan beliau banyak barang keperluan naik harga. Malah bekalan ayam dan telur pun terputus pada penghujung pemerintahan PN.