‘Muhyiddin pernah cadang laksana subsidi bersasar’
Kenyataan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang ‘bersedih’ ekoran pelaksanaan dasar penyasaran subsidi diesel yang didakwanya tidak mengendah nasib rakyat dianggap cubaan memperdaya rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, Presiden Bersatu itu dua tahun lalu pernah mencadangkan polisi serupa semasa menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Bahkan kata beliau, idea tersebut yang dinamakan Skim Subsidi Bersasar adalah polisi yang tidak jauh berbeza sebagaimana dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Semasa menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), beliau pernah mencadangkan Skim Subsidi Bersasar yang kononnya boleh menjimatkan RM20 bilion setahun.
“Cadangan subsidi itu hanya tertumpu kepada golongan B40 dan B60 tetapi berlainan pula dengan Kerajaan Perpaduan lebih fleksibel termasuk 33 jenis kenderaan yang layak menerima subsidi termasuk pengangkutan awam dan kenderaan jarak jauh,” kata Onn kepada Suara Keadilan.
Oleh itu, kata Setiausaha Politik Presiden KEADILAN itu, Muhyiddin tidak sepatutnya menggunakan isu penyasaran subsidi diesel sebagai modal politik kerana beliau tahu kerajaan tidak menghapuskan subsidi sebaliknya hanya menyasarkan agihan tersebut melalui inisiatif Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) dan Budi Madani.
“Beliau sepatutnya perlu tahu bahawa kerajaan tidak menghapuskan subsidi sepenuhnya tetapi mengagihkannya dengan cara yang lebih tepat kepada golongan yang layak menerima manfaat.
“Polisi ini sewajarnya perlu disokong oleh pembangkang kerana mereka sendiri pernah bangkitkan idea subsidi bersasar sewaktu menjadi kerajaan (pemerintahan PN),” ujarnya lagi.
Untuk rekod, pada 30 Julai 2022, Muhyiddin pernah berkata Kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM20 bilion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi bersasar.
Katanya, ketika itu hanya 20% subsidi yang disediakan kerajaan digunakan oleh golongan B40 manakala selebihnya dinikmati oleh golongan yang tidak sepatutnya.
“Hampir 50 peratus daripada subsidi kerajaan digunakan oleh orang dalam kategori yang berada, orang kaya, kenderaan besar dan macam-macam lagi.
“Jadi saya fikir asas untuk kerajaan membuat keputusan (skim subsidi bersasar) adalah sangat kukuh, supaya lebih peratusan dapat sampai kepada golongan sasar (B40),” katanya dipetik Bernama selepas Majlis Perjumpaan MPN Bersama Nelayan Terengganu di Pelabuhan LKIM Cendering, Kuala Terengganu.