Kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang terbaharu bahawa parti itu tidak pernah menentang sistem sekolah vernakular di Malaysia amat mengejut dan mengelirukan.
Menurut Pengarah Komunikasi
KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung, kenyataan berkenaan seolah olah mahu
'membeli keyakinan' bukan Melayu yang sejak beberapa tahun ini menyimpan
kebimbangan mengenai hala tuju politik Pas yang kelihatan anti sistem
pendidikan vernakular.
Kata Chean Chung, kenyataan
terbaharu Fadhli mungkin dibuat untuk cuba meraih kembali sokongan bukan Melayu
dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) selepas pemimpin
Pas-PN mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan pendidikan calon DAP, Pang
Sock Tao sebelum ini.
"Saya terkejut membaca
kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, Ahli Parlimen Pasir Mas,
bahawa bagi Pas sekolah vernakular tidak ada isu dan Pas tak pernah menentang
sekolah vernakular bahkan menyatakan sekolah vernakular boleh wujud tetapi
dengan beberapa pembaharuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Chean Chung, sikap Pas
terdahulu telah jelas memperlihatkan penentangan terhadap sistem vernakular
apabila pada 2019 lalu Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia ketika itu,
Salamiah Md Nor berkata, parti itu mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH)
menghapuskan sistem pendidikan vernakular kerana dasar terbabit tidak
menyumbang kepada perpaduan kaum, dalam tajuk berita Sinar Harian “Hapuskan
sistem pendidikan vernakular – PAS” (22 Jun 2019)
Sebelum itu, katanya, Ustaz
Rosli Abdul Jabar, Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang (kenyataan 26 Jun 2019) juga
telah mengeluarkan kenyataan menyatakan Badan Perhubungan Pas Pahang menyokong
penuh kenyataan dan cadangan Ustazah Salamiah Mohd Nor yang merupakan Ketua
Dewan Muslimat PAS Pahang wantu itu yang mendesak kerajaan PH menghapuskan
sistem pendidikan vernakular di negara ini.
Tegas Chean Chung, kenyataan
terbaharu Fadhli tidak akan menutup banyak kenyataan yang dibuat oleh pemimpin
Pas sebelumnya dan masih boleh ditemui di beberapa portal berita atas talian.
"Tidakkah kenyataan Ahmad
Fadhli bahawa bagi Pas sekolah vernakular tidak ada isu dan Pas tak pernah
menentang sekolah vernakular bercanggah dengan beberapa contoh yang saya
berikan ini?" tanyanya.