SETELAH SEMINGGU
KEMPEN, PELUANG PH DAN PN MASIH 50-50 DI KKB
Minggu ini adalah minggu yang kritikal bagi
calon-calon bertanding dalam PRK Kuala Kubu Bharu sebelum tiba tarikh
pengundian pada 11 Mei depan.
Paling tak lena tidur pastinya ialah jentera
kempen PH yang dibantu BN, begitu juga jentera PN serta calon masing-masing,
Pang Sock Tao dan Khairul Azhari Saut.
Kedua-dua mereka inilah paling berpotensi
untuk menang, manakala Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat
Malaysia) boleh dikata tiada peluang sama sekali untuk meraih kemenangan.
Berbaki lima hari lagi sebelum tiba hari
pengundian adalah tempoh yang penting dan boleh menentukan sama ada kemenangan
mampu diperolehi atau sebaliknya.
Apatah lagi setelah seminggu berlalu selepas
hari penamaan calon pada 27 April lalu, siapa yang boleh menang masih lagi
belum jelas kelihatan.
Beberapa pihak yang ditemui dan ditanya
pandangan mereka mengenai PRK Kuala Kubu Bharu, rata-ratanya mengatakan
kedudukan setakat ini adalah 50-50.
Calon PH dikatakan hanya mendapat sokongan
lebih kukuh daripada pengundi Cina, manakala calon PN lebih disokong oleh
kelompok pengundi Melayu.
Seorang pemimpin UMNO berkata, walaupun dengan
bantuan parti itu, tetapi PH sukar mendapat sokongan pengundi Melayu kerana 80
peratus daripada kelompok itu adalah memihak kepada PN.
Dalam keadaan tersebut, selain kemenangan
banyak ditentukan oleh peratusan yang keluar mengundi, “king maker” sebenar
boleh jadi pengundi India yang berjumlah 18 peratus daripada jumlah keseluruhan
lebih 40 ribu pengundi di Kuala Kubu Bharu.
Yang pasti, bermula hari ini sehingga Jumaat
malam akan datang adalah hari-hari sibuk di Kuala Kubu Bharu.
Kedua-dua pihak, PH dan PN, dijangka akan
meningkatkan lagi gerak kempen masing-masing, sama ada dalam bentuk ceramah,
kunjungan rumah ke rumah dan siri-siri penerangan lainnya.
Pemimpin-pemimpin utama PH, PN dan BN juga
dijangka lebih ramai akan turun ke Kuala Kubu Bharu di hari-hari terakhir
kempen ini.
Siapa yang lebih berjaya menggerakkan jentera
kempen di hari-hari terakhir ini, merekalah yang lebih berpotensi beroleh
kemenangan.
Walaupun siapa kalah dan siapa menang tidak
akan mengubah kedudukan kerajaan, baik di negeri mahu pun di pusat, tetapi
mesej daripada keputusan pada 11 Mei nanti adalah penting untuk penilaian masa
depan bagi kedua-dua parti utama yang bertanding itu, khususnya dalam
menghadapi PRU16 akan datang.
Sebab itulah PH dan PN masing-masing mahu
mengejar kemenangan dan seboleh mungkin, ingin mengelak daripada ditimpa
kekalahan. – ShahbudinHusin 06Mei2024.