JIKA SYARAT PERTANDINGAN TAK DILONGGARKAN, BERSATU AUTOMATIK TIADA LAGI MASA DEPAN


Menjelang pemilihan Bersatu yang dijangka berlangsung pada September depan, keperluan melonggarkan syarat pertandingan semakin menjadi perhatian dan rancak diperkatakan.


Mengikut peraturan semasa, hanya mereka yang memegang jawatan Ketua Bahagian atau dalam MPT selama dua penggal lengkap saja yang layak bertanding jawatan Top 5 – Presiden, Timbalan Presiden dan tiga kerusi Naib Presiden.


Dengan peraturan tersebut, sementara Mahiaddin Md Yasin hampir pasti tidak dicabar, ia juga menyebabkan hanya bekas menteri, Mohd Redzuan Md Yusof atau Pak Wan yang dilihat berpotensi untuk mencabar Ahmad Faizal Azumu atau Peja bagi jawatan Timbalan Presiden.


Tetapi, kedua-dua pemimpin berkenaan, selain kalah pada PRU15 lalu, mereka juga tiada aura untuk membawa Bersatu ke tahap yang lebih meyakinkan.


Dua tokoh penting dalam Bersatu yang diperkatakan ramai ada potensi, Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali tidak layak bertanding sebarang jawatan kerana tidak memenuhi syarat menjadi Ketua Bahagian atau berada dalam MPT selama dua penggal dengan lengkap.


Dengan itu, banyak pihak dalam Bersatu merasakan, jika syarat pertandingan tidak dilonggarkan, parti akan kehilangan masa depan dalam menghadapi PRU16 akan datang, terutama jika selepas ini Mahiaddin didapati bersalah atas kes mahkamah yang sedang dihadapinya.


Kalau pun Mahiaddin tidak disabitkan bersalah oleh mahkamah sebelum PRU akan datang, gandingan beliau dengan Peja atau Pak Wan tetap dilihat hambar di mata banyak pihak dan lebih memungkinkan Bersatu dan PN terus kekal sebagai pembangkang.


Dengan demikian, mendepani PRU akan datang, mahu tidak mahu, Bersatu perlu merangkumkan semua watak penting dalam parti itu untuk berada dalam kepimpinan utama agar rakyat melihat ada harapan untuk mereka berteduh di bawah parti itu.


Sebab itu, Bersatu perlu melonggarkan syarat pertandingan, di mana dalam hal ini MPT parti berdasarkan Perkara 14.14 diberi kuasa untuk melonggarkan peraturan semasa yang terpakai sekarang – supaya akhirnya sesiapa saja pemimpin bebas untuk menawarkan diri bertanding sebarang jawatan.


Sebagai parti baru yang hanya didaftarkan sebelum PRU14 lalu, syarat mesti menjadi Ketua Bahagian atau berada dalam MPT selama dua penggal lengkap baru layak bertanding jawatan Top 5 adalah sama sekali tidak relevan dan boleh dianggap mengarut.


Lainlah jika parti sudah berusia berpuluh tahun dan telah melalui lima enam kali pemilihan, masuk akal jugalah syarat tersebut diguna pakai.


Lagi pula, Bersatu adalah pembangkang – tiada parti pembangkang di dunia ini meletakkan syarat ketat untuk ahlinya bertanding sebarang jawatan dalam keadaan tiada kuasa apa-apa dalam genggaman.


Adakah Bersatu mahu mencipta sejarah sebagai satu-satunya parti pembangkang di dunia ini yang takut dengan proses pertandingan secara terbuka dan demokrasi?


Kalau parti sedang menguasai kerajaan dan bagi tujuan mengelakkan perpecahan, munasabah jugalah jika diketatkan syarat pertandingan agar perpaduan tidak mudah digoyahkan oleh unsur-unsur luaran yang mahu mengkucar-kacirkan kerajaan.


Tetapi, sebagai pembangkang, Bersatu perlu menunjukkan ia terbuka, lebih menarik untuk disertai dan ada kemeriahan dalam pertandingan, sesuai dengan cita-cita mahu mengambil alih kerajaan.


Dengan itu, membuka seluas-luasnya syarat pertandingan merupakan satu keperluan yang mampu membawa lebih kebaikan.


Apa guna parti jadi lesu dengan syarat pertandingan yang ketat dan akhirnya kekal tersadai sebagai pembangkang untuk tempoh yang lebih lama.


Di samping itu, dalam pemilihan tiga tahun lalu, Bersatu telah pun memberi kelonggaran kepada Ronald Kiandee untuk bertanding jawatan Naib Presiden dan beliau telah menang jawatan tersebut bersama Radzi Jidin dan Mohd Rafiq Nazamohideen (sudah keluar parti)


Jika dalam pemilihan akan datang ini syarat itu tidak dilonggarkan, Ronald Kiandee juga tidak layak mempertahankan jawatannya.


Tak ke pelik jadinya?


Maka itu, biarlah syarat pertandingan kali ini dilonggarkan untuk semua dan sesiapa jua – Hamzah, Azmin dan lain-lain pemimpin yang berminat – bebas bertanding untuk apa saja jawatan – Presiden, Timbalan Presiden atau Naib Presiden pada pemilihan September nanti. – ShahbudinHusin 24Mei2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/05/24/jika-syarat-pertandingan-tak-dilonggarkan-bersatu-akan-kehilangan-masa-depan.html



No comments: