Tindakan boikot di antara ilmu dan emosi


Abu Mishkat


Khutbah Jumaat di negeri Perak dikeluarkan berdasarkan asas ilmu dan pertimbangan maslahah rakyat Malaysia yang mencari rezeki di syarikat-syarikat yang dikempen boikot. Mereka adalah pekerja yang bekerja untuk menyara diri dan keluarga. 


Kesan positif langsung bagi umat Islam dalam membela saudara yang tertindas di Timur Tengah seperti pemberhentian serangan oleh tentera kejam itu hampir tiada. 


Sebaliknya kesan negatif langsung kepada syarikat-syarikat yang memberi peluang pekerjaan kepada pekerja rakyat Malaysia secara khusus dan ekonomi negara secara umum adalah jelas. 


Hadis sahih yang dijadikan kaedah fiqhiyyah: لا ضرر ولا ضرار (Tidak -diizinkan dalam agama- mudarat dan tindakan memudaratkan) 


Khutbah disampaikan untuk memberi kesedaran agar tindakan memudaratkan orang lain dihentikan, kerana ia bercanggah dengan ajaran agama. 


Kerugian syarikat yang diboikot memudaratkan puluhan ribu orang pekerja negara ini secara langsung. Sedangkan negara kejam itu tidak menanggung akibat yang signifikan. 


Jalan yang terbaik ialah kempen supaya para pekerja di syarikat terbabit bekerja bersungguh-sungguh dan menyumbang untuk organisasi yang membantu umat Islam yang tertindas - sebagai imbalan jika mereka dianggap berdosa kerana bekerja dengan syarikat yang induknya memberi sumbangan kepada negara yang menyokong negara kejam itu. 


Tindakan beremosi kempen boikot semberono hanya memudaratkan banyak pihak dalam negara ini sendiri. 


Kempen yang keterlaluan pula menyebabkan tindakan ganas dan zalim ke atas pihak yang tidak bersalah, sedangkan al-Quran menegaskan sebanyak lima kali ayat : لا تزر وازرة وزر أخرى  (Tiada suatu jiwa pun menanggung dosa orang lain). 


Pernah terjadi seorang ibu mengandung dibaling batu hingga cedera oleh seorang murid sekolah menengah agama di Terengganu kerana wanita itu dilihat berjalan menuju restoran makanan segera yang dikempen boikot. Beberapa kedai serbaneka pula cuba diletupkan dengan bom molotov atau dibakar akibat kebencian yang terhasil oleh kempen boikot. 


Oleh kerana kempen bokot itu telah menghasilkan tindakan-tindakan ganas luar kawalan berdasarkan emosi, maka sangat wajar mimbar Jumaat memberi peringatan agar umat Islam kembali ke jalan sederhana berdasarkan pertimbangan ilmu. 


Sesiapa yang tidak mahu membelanjakan wangnya kepada syarikat atau kedai berkaitan, itu adalah haknya. Tetapi kempen boikot secara semberono tidak harus diteruskan kerana terbukti ia membawa mudarat langsung kepada keharmonian dan perekonomian rakyat Malaysia sendiri. 


Allahu a'lam.