Malaysia menyokong sepenuhnya
resolusi yang diluluskan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) semalam yang
memutuskan untuk menyegerakan gencatan senjata di Gaza yang dikepung Israel.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata, resolusi gencatan senjata itu amat diperlukan untuk
memberi bantuan segera ke kawasan penduduk yang terkepung tanpa bekalan makanan
dan ubat ubatan sejak beberapa bulan lalu.
"Bagi pihak Kerajaan
Malaysia dan semua rakyat Malaysia, saya menyatakan dengan sesungguhnya
sokongan kami terhadap Resolusi 2728 Majlis Keselamatan PBB menyeru gencatan
senjata segera bagi semua keganasan di Gaza, pembebasan segera semua tebusan,
dan penghantaran bantuan segera serta dipercepatkan ke wilayah itu.
"Demi Ramadan, dalam
semangat yang bertujuan untuk melahirkan renungan, pembaharuan iman kita, dan
kembali kepada keluarga, resolusi yang mengikat secara sah ini mesti
dikuatkuasakan sekarang.
"Kita mesti segera
melegakan penduduk Gaza daripada kesakitan dan penderitaan yang mereka alami
selama hampir enam bulan.
"Khususnya, Amerika
Syarikat mesti bertegas ke atas sekutunya untuk menghormati kehendak masyarakat
antarabangsa dan mematuhi gencatan senjata serta membenarkan kemasukan secara
besar-besaran bantuan kecemasan," katanya dalam satu kenyataan.
PM dalam pada itu memuji negara
negara yang terlibat dalam mengundi menyokong resolusi berkenaan.
Katanya, ahli majlis yang
dipilih, Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone,
Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland mempunyai komitmen yang tinggi terhadap
kemanusiaan.
"Malaysia komited terhadap
perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha untuk penubuhan negara Palestin
yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan
Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, serta kemasukan Palestin sebagai Ahli
penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Anwar lagi.
Semalan PBB meluluskan resolusi
2728 apabila sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat mengambil pendirian
berkecuali. Sebelum ini AS bertindak menggunakan kuasa pembatal apabila PBB
mengundi usul gencatan senjata berkenaan.
*Foto kredit: PBB