Indeks harga: PMX perjelas manfaat CPI, turut diguna negara lain



 


Oleh: Abdullah Zaid



Kerajaan berpandangan Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi mengukur kadar perubahan harga semasa lebih menyeluruh berbanding Indeks Harga Harian (EP) dan Indeks Harga Anggapan (PP).



Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata indeks itu boleh menjadi penunjuk yang relevan dalam pengendalian dasar yang mempengaruhi ekonomi negara lebih meluas.



"Soal EP dan PP membantu kita melihat kesan kepada rakyat tetapi CPI masih digunakan di seluruh negara dunia jadi kita gunakan kedua (instrumen) tetapi dari segi rasminya masih indeks CPI," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.



Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu mengapa kerajaan memilih CPI berbanding EP dan PP yang diguna pakai Bank Negara Malaysia (BNM) ketika ini.



Dalam pada itu, Shahar ingin tahu cadangan kerajaan untuk meningkatan kutipan hasil bukan cukai terhadap syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), memandangkan syarikat-syarikat berkenaan memperoleh keuntungan yang tinggi tahun ini.



Mengulas lanjut, Anwar berkata kementerian ketika ini memberikan keutamaan tinggi terhadap pendapatan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan.



Katanya Petronas, BNM dan Khazanah mencatakan peratusan dividen yang tinggi dan negara memperoleh manfaat sekitar 50% daripada hasil bukan cukai.



"Pada tahun 2023 pendapatan pelaburan mewakili 65% daripada hasil bukan cukai, oleh itu usaha tambahan termasuk tranformasi GLIC sedang dipertingkatkan untuk memastikan ada peningkatan pelaburan domestik bagi memastikan hasil bukan cukai dalam negara boleh ditingkatkan," ujarnya.